KKM lapor 3,270 kes baharu Covid-19


Jumlah keseluruhan jangkitan kini 2,773,156 kes setakat 12 tengah hari tadi, menurut KKM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Januari, 2022.

KES baharu Covid-19 meningkat hari ini kepada 3,270 kes berbanding 2,842 kes semalam, menjadikan kes kumulatif dijangkiti wabak itu adalah 2,773,156 setakat 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu itu, 69 kes adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 3,201 kes lagi ialah kategori satu dan dua.

“Kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 257 manakala kes memerlukan bantuan pernafasan adalah 137,” katanya menerusi satu kenyataan berhubung perkembangan Covid-19 hari ini.

Mengenai jumlah kes sembuh, Dr Noor Hisham berkata 3,195 kes dicatatkan menjadikan jumlah kumulatif pulih daripada jangkitan wabak itu adalah 2,701,808 kes.

Beliau berkata empat kluster baharu turut dikenal pasti dengan 195 kluster masih aktif setakat ini, sementara nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) di negara ini mencatatkan 0.99, semalam.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir kekal 465 kes seperti dimaklumkan semalam kerana tiada pertambahan kes baharu dilaporkan setakat 3 petang tadi.

Beliau berkata 58 kes penyakit berjangkit dikesan dalam kalangan mangsa banjir terdiri daripada 32 kes Jangkitan Saluran Pernafasan Akut, penyakit kulit (20) dan Acute Gastroenteritis (enam). – Bernama, 5 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen