Keterangan saksi dakwa Guan Eng minta 10% potongan bukan cerita penuh, kata Ramkarpal


Lim Guan Eng berdepan empat pendakwaan salah guna kuasa ketika menjadi ketua menteri untuk meminta habuan sebagai balasan membantu CZBUGC mendapatkan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Disember, 2021.

KETERANGAN saksi pendakwaan bahawa Lim Guan Eng meminta potongan 10% habuan daripada projek terowong dasar laut Pulau Pinang bukanlah cerita penuh dan tidak patut diterima tanpa dicabar, kata Ramkarpal Singh hari ini.

Tambah Ramkarpal, pasukan pembelaan Lim akan mencabar kewibawaan saksi -Zarul Ahmad Mohd Zulkifli Zarul- dan ceritanya apabila perbicaraan bersambung pada Mac depan.

“Seperti mana-mana cerita, ia tidak lengkap sampailah keseluruhan buku habis dibaca.

“Kita masih terlalu jauh (habiskan cerita) dalam kes ini dan untuk menerima versi (cerita) Zarul tanpa (dinilai) kelayakannya sudah tentu tidak matang.

“Biar cerita penuh keluar dahulu pada Mac sebelum kita buat kesimpulan yang dia berkata benar atau tidak,” kata Ramkarpal yang juga pengerusi Biro Undang-Undang DAP Nasional, beliau juga adalah salah seorang peguam Lim.

Zarul yang merupakan pengarah eksekutif kanan Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd (CZBUCG), semalam memberitahu mahkamah bagaimana Lim, bekas ketua menteri Pulau Pinang itu meminta habuan 10% daripada keuntungan dalam projek bernilai RM6.3 bilion pada Mac 2011.

Zarul adalah saksi ke-23 pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes itu.

Ramkarpal juga mempersoalkan tindakan pendakwaan meminta Zarul memberi keterangan pada saat-saat akhir, seterusnya menutup peluang pihak pembelaan untuk melakukan soal balas serta merta.

Perbicaraan dijangka disambung pada Mac tahun depan.

Menurut Ramkarpal, pihak pendakwaan memanggil Zarul untuk memberi keterangan selepas tengah hari Jumaat, sebelum mahkamah menangguhkan bicara.

Ia menyebabkan pihak pembelaan tidak boleh memulakan sesi soal balas terhadap Zarul.

Tambahnya, cerita versi Zarul akan dijadikan asas spekulasi yang akan muncul beberapa bulan akan datang dan mungkin sebelum pilihan raya umum.

“Lebih baik jika Zarul dipanggil pada awal minggu supaya soal balas boleh dibuat ke atasnya dengan mendalam dan ceritanya dicabar sewajarnya,” katanya.

Zarul kini akan melalui sesi soal balas pihak pembelaan hanya pada 23 Mac 2022.

“Mac lebih tiga bulan lagi dan sudah ada cakap-cakap yang kemungkinan pilihan raya umum akan diadakan ketika itu.

“Tanpa ragu-ragu, akan banyak yang diperkatakan dan dispekulasi mengenai bukti Zarul pada bulan-bulan mendatang, kebanyakannya akan selari dengan apa yang dia cakap di mahkamah.”

Ramkarpal bagaimanapun bersetuju yang hak pihak pendakwaan untuk memanggil Zarul pada bila-bila masa yang dimahukan mereka.

Tambahnya, pihak pembelaan akan mencabar kewibawaan Zarul dan versi ceritaya pada Mac.

Katanya lagi, sebab itulah mengapa peguam Gobind Singh Deo meminta Salinan kenyataan Zarul kepada SPRM daripada pendakwaan kerana dipercayai keterangannya di mahkamah tidak konsisten dengan kenyataan terdahulu.

Lim berdepan empat pendakwaan salah guna kuasa ketika menjadi ketua menteri untuk meminta habuan sebagai balasan membantu CZBUGC mendapatkan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Beliau dituduh menerima RM3.3 juta dan membenarkan dua plot tanah milik kerajaan negeri diberikan kepada dua syarikat berkaitan projek itu. – 18 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen