Ujian peluru berpandu: AS sedia berdialog dengan Korea Utara


AS mengutukujian peluru berpandu balistik kapal selam terbaharu Korea Utara pada Selasa.– Gambar AFP, 20 Oktober, 2021.

AMERIKA Syarikat (AS) tetap bersedia untuk laksana libat urus dengan Korea Utara yang melancarkan ujian peluru berpandu balistik kapal selam terbaharunya pada Selasa.

Menurut Agensi Berita Xinhua, Setiausaha Akhbar Rumah Putih Jen Psaki memberitahu wartawan semasa taklimat harian bahawa AS mengutuk pelancaran peluru berpandu itu sambil menyatakan “pelancaran itu juga menunjukkan keperluan mendesak untuk adakan dialog dan diplomasi”.

“Tawaran kami untuk bertemu boleh diadakan di mana sahaja, bila-bila masa tanpa syarat. Kami juga berunding dengan sekutu dalam hal ini. Kami tetap bersedia untuk terlibat dalam diplomasi dengan Korea Utara,” tambahnya.

Pada Selasa, Wakil Khas AS untuk Korea Utara, Sung Kim mengadakan pertemuan tiga hala dengan rakan sejawatnya dari Korea Selatan dan Jepun mengenai keadaan semasa di Semenanjung Korea, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Luar Negeri.

“Kim menekankan kecaman AS terhadap pelancaran peluru berpandu balistik DPRK pada 19 Oktober, yang melanggar banyak resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), dan meminta Korea Utara untuk tidak meneruskan dengan provokasi dan sebaliknya ambil bahagian dalam dialog yang berterusan dan substantif,” kata kenyataan itu.

Pentadbiran Joe Biden di AS telah berulang kali mencadangkan agar pihaknya berusaha untuk laksanakan libat urus dengan Pyongyang mengenai masalah pelucutan senjata nuklear tetapi tidak menunjukkan kesediaan untuk mengurangkan sekatan terhadap negara itu.

Pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong Un minggu lalu mengatakan tidak ada alasan untuk mempercayai bahawa AS baru-baru ini memberi isyarat bahawa ia tidak memusuhi Pyongyang, selain membidas Korea Selatan kerana bersikap pilih kasih dengan terus meningkatkan kemampuan ketenteraannya.

Namun, Kim menyatakan bahawa musuh Korea Utara adalah “perang itu sendiri, bukan negara atau tentera tertentu seperti Korea Selatan dan Amerika Syarikat”.

Menurut Xinhua, Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) Korea Utara pada Rabu melaporkan negara itu menguji peluru berpandu balistik kapal selam jenis baharu pada Selasa. Pada hari yang sama, Ketua Staf Gabungan Korea Selatan (JCS) berkata Korea Utara telah melepaskan peluru berpandu balistik jarak dekat ke perairan timur. – Bernama, 20 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen