Kumpulan anti-rasuah persoal tiada bantahan Najib dapat semula pasport


Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme meminta alasan penuh disebalik keputusan untuk tidak membantah permohonan Najib Razak bagi mendapatkan pasportnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Oktober 2021.

JABATAN Peguam Negara perlu menjelaskan kepada umum mengapa pendakwa raya tidak membantah permohonan Najib Razak untuk mendapatkan pasportnya bagi melakukan perjalanan ke luar negara, kata Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (Pusat C4).

Kumpulan anti-rasuah itu terkejut kerana Najib dibenarkan mendapatkan pasport antarabangsanya bagi melakukan perjalanan, berikutan beliau telah disabitkan dengan kesalahan rasuah dan pecah amanah.

“Kami mendesak Jabatan Peguam Negara dan pasukan pendakwaan untuk menjelaskan kepada orang ramai mengapa tidak ada bantahan ke atas permohonannya untuk mendapatkan semula pasport beliau buat sementara waktu.

“Terdapat alasan kukuh untuk bimbang tentang risiko penerbangan, kerana beliau dalam proses rayuan dan terus berdepan dengan tuduhan yang lebih besar di mahkamah termasuk berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan anak syarikatnya,” kata C4 Center dalam satu kenyataan.

Semalam, Mahkamah Rayuan membenarkan Najib pergi ke Singapura bagi menziarahi anak perempuannya, Nooryana Najwa yang sedang menunggu masa untuk bersalin.

Kamaludin Md Said yang mempengerusikan panel tiga hakim, menyampaikan keputusan sebulat suara itu setelah mendengar hujahan peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari berkata, tidak ada bantahan dari pihak pendakwaan dan menyerahkan perkara itu kepada kebijaksanaan mahkamah.

Pusat C4 mempersoalkan tindakan pihak pendakwaan yang tidak menolak permohonan tersebut walaupun terdapat banyak pertuduhan dan beberapa tarikh perbicaraan terhadap Najib sedang berlangsung serta penangguhan berulang kali akibat Covid-19.

“Kami meminta penjelasan segera terhadap permohonan yang adil.

“Pusat C4 meminta alasan penuh disebalik keputusan untuk tidak membantah permohonan beliau bagi mendapatkan pasportnya.” – 19 Oktober, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen