MoU jadi harapan tunai janji MA63, kata Guan Eng


Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggesa pengembalian status perlembagaan Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 September, 2021.

PUTRAJAYA perlu berpegang kepada janjinya berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ketika negara menyambut Hari Malaysia ke-58, kata Lim Guan Eng.

Setiausaha agung DAP berkata Memorandum Persefahaman (MOU) yang ditandatangani oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan ketua parti Pakatan Harapan (PH) pada Isnin juga melibatkan MA63.

“PH bersedia bekerjasama dengan 5 menteri kerajaan Persekutuan dalam Jawatankuasa Pemandu yang mengawasi pelaksanaan MOU untuk melihat bagaimana kita dapat memenuhi jaminan dan janji Hari Malaysia 58 tahun yang lalu,” kata Lim.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata MA63 adalah satu daripada klausa utama MOU mengenai Transformasi dan Kestabilan Politik.

Semalam, ahli Parlimen Bagan juga mengingatkan MoU bipartisan bukanlah pas percuma daripada pembangkang kepada kerajaan dan MoU akan terbatal jika kerajaan gagal mematuhi syaratnya.

Ahli Parlimen Semenanjung lain juga menggesa semua pihak tidak mengambil ringan isu MA63 di Parlimen semalam untuk pembangunan negeri-negeri di Malaysia Timur.

Lim hari ini meminta pengembalian status perlembagaan Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata pindaan Perlembagaan akan memastikan kehidupan dan gaya hidup unik Malaysia yang pelbagai yang menghormati semua budaya dan agama dilindungi dan dipelihara.

“Ini adalah penting berikutan kebimbangan yang semakin meningkat bahawa menteri PAS dalam kerajaan persekutuan mengusulkan undang-undang Syariah yang seakan membahayakan hak asasi kebebasan beragama orang bukan Islam,” kata Lim.

Beliau juga meminta kerajaan mengiktiraf autonomi Sabah dan Sarawak dan tidak melaksanakan peraturan yang sama seperti di Semenanjung Malaysia.

Lim berkata pembangunan ekonomi Borneo Malaysia perlu sejajar dengan Malaysia Barat.

“Kedua-dua negeri harus sentiasa menikmati bahagian terbesar dana pembangunan dan juga mempunyai suara bagaimana dana pembangunan yang diperuntukkan oleh kerajaan persekutuan diagihkan.

“Desentralisasi perlu diterima pakai untuk memastikan keputusan yang mempengaruhi kedua-dua negeri tidak diputuskan oleh pegawai di pejabat mereka yang berhawa dingin beribu-ribu batu jauhnya,” kata Lim. – 16 September, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen