Perkeso bayar lebih RM18 bilion stabilkan pasaran buruh ketika pandemik


Perkeso memberi bantuan kewangan untuk menstabilkan pasaran buruh, berikutan kejutan ekonomi susulan penularan wabak Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 September, 2021.

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) membayar lebih RM18 bilion dalam bentuk subsidi upah, elaun pencarian pekerjaan melalui insentif yang disediakan di bawah tujuh pakej rangsangan, setakat hari ini.

Ketua Eksekutif Perkeso Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata bantuan kewangan itu setara dengan sekurang-kurangnya 1.5% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara dan disalurkan untuk menstabilkan pasaran buruh, berikutan kejutan ekonomi susulan penularan wabak Covid-19.

“Perkeso membangun strategi tiga serangkai, bermula dengan pengekalan melalui Program Subsidi Upah, pelepasan melalui elaun mencari pekerjaan (EMP) yang dilanjutkan dan Program Insentif Pengambilan pekerjaan,” katanya dalam ucaptama semasa simposium Regional Return to Work (RTW) Perkeso 2021 yang diadakan secara maya, hari ini.

Beliau berkata antara pendekatan dan inisiatif yang diambil oleh Perkeso untuk memastikan sokongan emosi dan psikologi dapat diberikan ketika pandemik Covid-19, termasuk penubuhan pasukan bimbingan dan kaunseling yang dikenali sebagai Unit Sokongan Psikologi dan Kesejahteraan Sosial.

Unit ini secara khusus menangani masalah dan cabaran kesihatan mental yang meningkat secara drastik akibat pandemik Covid-19.

“Pandemik ini telah menyedarkan ramai orang mengenai betapa pentingnya menangani kesejahteraan psikologi, emosi, dan mental. Ini akan mewujudkan lebih banyak peluang bagi pasukan bimbingan dan kaunseling untuk menghubungi orang yang diinsuranskan Perkeso untuk bimbingan dan sokongan emosi,” kata Azman.

Katanya, Perkeso juga melaksanakan siri webinar yang bertujuan untuk memberi kesedaran mengenai masalah emosi dan psikologi dan sokongan di tempat kerja.

“Siri webinar dijalankan mengikut zon geografi untuk memastikan bahawa kami dapat meningkatkan kesedaran ke setiap negeri seluruh negara.

Azman berkata talian utama kesejahteraan psikososial diwujudnya bertujuan untuk memudahkan dan melancarkan penyampaian perkhidmatan tanpa mengira masa dan tempat, dengan sesiapa sahaja terutama individu yang diinsuranskan dapat berkongsi beban emosi mereka, masalah kehidupan seharian mereka, bahkan bertanya mengenai isu-isu mengenai kesihatan mental.

Pasukan kesejahteraan psikososial akan menawarkan sokongan dan bantuan psikologi melalui telesihat, katanya. – Bernama, 6 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen