ISTERI Perdana Menteri, Rosmah Mansor berkata wanita rata-ratanya menyukai lelaki yang gagah atau ‘macho’ dan bukannya yang berkulit lembut.
Rosmah mengulas mengenai kerancakan industri kosmetik dan kecantikan yang masa kini tidak terhad kepada wanita sahaja.
“Sekarang ini di pasaran, lelaki pun nak jaga kulit dari wanita. Di pasaran macam-macam jenis kosmetik untuk lelaki dekat iklan.
“Bukan perempuan pun nak cantik. Lelaki pun nak handsome. Tapi saya tak faham, kenapa lelaki nak handsome. Kita suka orang macho. Kita bukan suka yang kulit lembut,” kata penaung Permata itu di hadapan 50 pengusaha kosmetik dan kecantikan di Kuala Lumpur.
Beliau bagaimanapun bangga dengan pencapaian industri itu yang semakin berkembang dengan lahirnya ramai pengasas-pengasas produk di Malaysia.
Rosmah yang tidak sihat terpaksa menggantikan Najib Razak pada Majlis Sepetang Pengusaha Produk Kecantikan Dan Kesihatan Buatan Tempatan Bersama Perdana Menteri Malaysia.
“Dimaklumkan jemputan untuk PM yang kebetulan suami saya tetapi beliau terpaksa hadiri mesyuarat penting.
“Beliau memerintahkan saya untuk hadir (program). Jadi siapa kata Datuk (Najib) control saya tak betul. Saya kata tak berapa sihat. Dia (Najib) kata, tak kira you batuk ke demam. You pergi sajalah.
“Dan sekarang saya di hadapan hadirin,” katanya lagi.
Rosmah menambah, bukanlah mudah untuk menjadi isteri perdana menteri kerana perlu melalui pelbagai cabaran.
“Saya ingin fahamkan kehidupan saya. Ingat senang hendak jadi isteri kepada seorang pemimpin? Apa pun, kena alami pelbagai dugaan.
“Kalau tadi saya terlambat, saya mohon maaf. Saya kena makan ubat untuk meredakan batuk. Saya sudah lama tidak kena batuk dan demam,” katanya. – 29 November, 2017.
Komen