SENIMAN tidak harus membiarkan pihak berkuasa “memandulkan” mereka dengan sekatan yang dibuat ke atas karya-karya seni yang mereka hasilkan, kata aktivis seni Raja Ahmad Aminullah.
Aktivis budaya itu kecewa dengan sikap berdiam diri penggiat seni mengenai rampasan karya sekumpulan artis dalam pameran Biennale Kuala Lumpur (KLB) 2017 baru-baru ini.
“Kenapa kita mengizinkan dimandulkannya diri kita oleh pihak penguasa. Ini bermakna kita ini ada budaya rasa takut, tak berani hendak menyuarakan (pendirian).
“Sebagai seorang seniman, antara tugas penting adalah untuk membongkar kesunyian. Kalau seniman tidak bersuara siapa lagi,” katanya kepada The Malaysian Insight, dalam satu pertemuan di Balai Seni Negara, Kuala Lumpur.
Kumpulan eseinya bertajuk Minda Tertawan yang diterbitkan pada 2011 merakamkan pandangan kritikalnya tentang keadaan intelektual dan akademia di Malaysia, yang beliau beliau sifatkan tertawan oleh penguasaan politik.
Raja Ahmad mengulas episod penarikan diri kumpulan artis Pusat Sekitar Seni (PSS) dan karya mereka “Under Construction” daripada pameran seni Biennale Kuala Lumpur (KLB) 2017, minggu lalu.
PSS menarik diri selepas mereka tidak dibenarkan oleh pihak pengurusan pameran untuk menyiapkan instalasi itu dengan alasan “dalam siasatan polis”.
Jurucakapnya, Aisyah Baharuddin mendedahkan beberapa bahan dari karya instalasi itu juga telah dikeluarkan daripada karya itu, antaranya beberapa buah buku serta sepotong perkataan “Rasuahahahahaha” yang dibentuk daripada huruf-huruf yang dipotong dari surat khabar dan majalah lama yang mereka kutip di balai seni.
Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim menafikan pihak polis merampas sebahagian karya terlibat seperti yang didakwa oleh kurator pameran kepada PSS, sebaliknya hanya menasihati kurator bahawa beberapa bahan yang dipamerkan “tidak sesuai”.
“Kurator yang turunkan karya berkenaan dan beri semula kepada artis,” kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim, seperti dipetik The Star Online.
Mazlan juga berkata polis sedang menyiasat kes ini. Tiga anggota polis dilihat berada di Balai Seni Negara pada Jumaat lepas.
Beri ruang anak muda berkarya
Raja Ahmad, yang merupakan bekas Ahli Lembaga Pengarah Utusan Melayu Berhad menambah, pihak berkuasa seharusnya lebih terbuka memberikan ruang untuk anak muda berkarya.
“Karya ini (“Under Construction”) dari anak muda dan berhak untuk jadi salah satu karya untuk dipamerkan.
“Karya juga melibatkan ekspresi generasi baru. Memang lumrah dunia, generasi kelompok muda ini bersifat menantang,” katanya lagi.
Menurut Raja Ahmad, beliau faham negara ada undang-undang namun setiap kesalahan yang didakwa dilakukan perlulah ditunjukkan dengan jelas.
“Apakah menyebut perkataan ‘rasuah’ melanggar undang-undang?
“Kita harus berlapang dada dan mengalu-alukan sudut pandang berbeza.
“Hujah harus dibalas dengan hujah. Bukan dibalas dengan penguatkuasaan,” katanya.
Galeri perlu pertahan karya
Sementara itu, pelukis terkemuka Ahmad Zakii Anwar berkata Balai Seni Negara, sebagai sebuah galeri utama di Malaysia, sepatutnya lebih ke hadapan dalam mempertahankan karya seni kontemporari.
“Untuk satu pandangan, memperjuangkan seni kontemporari sepatutnya lebih terbuka. Apabila galeri itu mempamerkan seni kontemporari, ia adalah seni yang berubah dan kritikal.
“Jadi kalau galeri berdasarkan konsep sedemikian, maka dia kena pertahankanlah pelukis.
“Kalau katakan nak jadi galeri propaganda kerajaan dan cakaplah… senang. Jadi apa-apa yang mengkritik kerajaan jangan pamerkan. Pelukis pun kalau nak kutuk kerajaan tak boleh tunjuk dekat Balai Seni,” katanya, ketika ditemui di pameran tersebut.

Dalam pada itu, seorang lagi artis ternama, Masnoor Ramli Mahmud kecewa terhadap apa yang berlaku ke atas kolektif artis Pusat Sekitar Seni (PSS) apabila hak mereka sebagai pengkarya dinafikan.
“Saya yakin ada campur tangan. Balai Seni Negara seakan dipolitikkan. Ia sepatutnya jadi tempat untuk melahirkan wacana ilmiah dan membincangkan hujah-hujah isu semasa,” katanya.
Tambah beliau, perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah acara seni berprestij seperti KLB2017.
“Sokongan kerajaan amat penting dalam perkara seperti ini. Kalau di luar negara, ini adalah acara berprestij. Bila jadi begini, siapa mangsa?
Masnoor, yang terkenal bersama kumpulan artis Matahati, melihat apa yang berlaku ke atas PSS dan karyanya “Under Construction” mungkin kerana karya itu “terlalu berterus terang”.
Biennale Kuala Lumpur 2017, yang mengangkat tema “Belas”, dirasmikan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Mohamed Nazri Abdul Aziz pada Khamis lepas dan akan berlangsung sehingga Mac 2018.
Ia menghimpunkan karya 103 artis Malaysia dan 11 artis antarabangsa. – 28 November, 2017.
Komen