ISEAS pertahan kajian, 55% nisbah sebenar Melayu johor 


Nabihah Hamid

Menurut ISEAS, 55% responden Melayu yang ditemubual melalui telefon dibuat berdasarkan 1.7 juta kaum Melayu di negeri Johor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2017.

KAJIAN 82% rakyat Johor mahu sekolah aliran Inggeris menepati nisbah rakyat Johor yang meliputi 3.2 juta orang, kata ISEAS-Yusof Ishak Institute. 

Menurut ISEAS, 55% responden Melayu yang ditemubual melalui telefon dibuat berdasarkan 1.7 juta kaum Melayu di negeri itu.

“Jumlah populasi rakyat Johor kira-kira 3.2 juta, dan 1.7 juta adalah kaum Melayu. Saiz sampel untuk kaum Melayu untuk kajian adalah 1104 daripada 2011, atau 55%, bersesuaian dengan angka sebenar penduduk. 

“Temubual melalui telefon pula kaedah yang diterima untuk tinjauan dengan kajian lebih daripada 2,000 responden,” kata jurucakap ISEAS kepada The Malaysian Insight.

ISEAS mengulas mengenai gesaan aktivis bahasa Melayu yang mempersoalkan integriti laporan berkenaan dan menentang sebarang usaha untuk menggantikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar di sekolah.

Bekas penasihat Gerakan Mansuhkan PPSMI, Prof Dr Shaharir Mohamad Zain tidak menganggap kajian tersebut mencerminkan pandangan rakyat Johor kerana hanya menggunakan 55% responden Melayu.

“Kajian itu tidak menunjukkan peratusan masyarakat bandar dan luar bandar. Kalau dia buat di sekitar Johor Bahru misalnya, ia tidak bermakna menggambarkan kehendak rakyat Johor.

“Kenapa Singapura yang menjalankan kajian? Dan kenapa hanya 55% kaum Melayu saja? Sepatutnya sekurang-kurangnya 60% Melayu,” katanya. 

Kajian tersebut dikendalikan Merdeka Center dijalankan pada Mei dan Jun lalu, merangkumi 2,011 responden berumur 18 tahun ke atas yang tinggal di Johor dan ditemuramah melalui telefon.

Mereka yang ditemuramah meliputi 1,104 (55%) responden Melayu, 758 (38%) Cina dan 149 (7%) India.

Pengarah Merdeka Center, Ibrahim Suffian sebelum ini turut mempertahankan kajian tersebut dan ia menepati piawaian akademik.

Di laman web rasmi Merdeka Center, menjelaskan institusi itu menjalankan kajian melalui temubual telefon kerana terbukti tepat.

Ia juga sesuai bagi menjaga privasi responden lebih-lebih lagi untuk kajian yang sensitif selain hasil diperolehi dengan pantas dan tidak menelan kos yang tinggi. – 23 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen