Tiada perincian khusus pelaburan KWSP di Amerika


Nabihah Hamid

Setiap cadangan pelaburan KWSP di Amerika Syarikat akan dikaji berdasarkan rundingan dan melalui proses penilaian pelaburan yang ketat, berdisiplin dan berhemah, kata Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan bertulis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 November, 2017.

SETIAP cadangan pelaburan KWSP di Amerika Syarikat akan dikaji berdasarkan rundingan dan melalui proses penilaian pelaburan yang ketat, berdisiplin dan berhemah, kata Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan bertulis.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja juga mengatakan tiada perincian khusus untuk pelaburan di AS.

“Tiada perincian atau nilai-nilai pelaburan spesifik bagi tujuan yang dinyatakan.

Kenyataan Amerika Syarikat baru-baru ini adalah konsisten dengan strategi jangka panjang pelaburan KWSP untuk meningkatkan pelaburan luar negara terutamanya dalam kelas aset hartanah dan infrastruktur,” kata Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis 14 November bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali.

Azmin mahu mengetahui perincian cadangan pelaburan di Amerika Syarikat memandangkan jumlah pelaburan asing KWSP di negara tersebut telah melebihi 58%.

KWSP sebelum ini berkata setiap peluang pelaburan asing diteliti untuk memastikan pulangan sebagai dana simpanan persaraan.

Perdana Menteri Najib Razak di Amerika Syarikat (AS) pada 12 September lalu berkata yang KWSP akan membuat pelaburan tambahan sebanyak AS$3 bilion (RM12.6 bilion) kepada AS$4 bilion (RM16.8 bilion).

Ia bagi pembangunan semula infrastruktur di AS,  Najib membuat pengumuman itu semasa pertemuan dengan Presiden AS Donald Trump di White House.

Dalam pada itu Kementerian Kewangan berkata pelaburan KWSP adalah berpandukan kepada Alokasi Aset Strategik (SAA) yang dirangka selain bekerjasama dengan perundingan kewangan global yang mempunyai kredibiliti yang tinggi di dalam merangka SAA.

“Ini adalah bertepatan dengan objektif pelaburan KWSP untuk melindungi dan menambah nilai simpanan ahli.

“Semakan ke atas SAA dibuat 3 tahun sekali bagi memastikannya ia selaras dengan keadaan pasaran dan jangkaan pulangan pasaran modal domestik dan global,” kata kenyataan bertulis itu lagi. – 16 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen