TINDAKAN memajak dan menyerahkan kereta untuk disambung bayar tanpa pengetahuan bank adalah melanggar peruntukan Akta Sewa Beli 1967, kata Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menterinya, Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemilik kereta yang memajak dan menyerahkan kenderaan untuk disambung bayar kepada pihak ketiga dan tanpa persetujuan bank boleh dikenakan tindakan.
“Kes-kes sambung bayar dan juga pajakan kereta sebenarnya melanggar peruntukan Akta Sewa Beli yang mana ia di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK),” katanya dalam satu jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng yang mahu penjelasan mengenai skim penipuan sambung bayar kenderaan.
Zahid berkata, KDN sedar mengenai kewujudan kes sambung bayar dan pajakan kereta sebagai jalan penyelesaian pemilik kereta yang tidak berkemampuan untuk membayar ansuran bulanan kepada bank.
“Masalah berlaku apabila kereta yang dijual secara sambung bayar atau pajakan ini tidak dibayar sewa bulanan kepada bank sekaligus menyebabkan penama kenderaan disenarai hitam.
“Kes-kes ini tidak boleh dikategorikan sebagai kes curi kereta kerana tidak memenuhi elemen kesalahan mencuri seperti dikatakan dalam Seksyen 378 Kanun Keseksaan.
“Namun, dalam siasatan dijalankan polis, jika terdapat unsur penipuan, siasatan dijalankan polis akan dibuat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Akta Seksyen 38 memperuntukkan sesiapa yang menjual barang-barang yang dibeli secara perjanjian sewa beli tanpa kebenaran daripada pemunya boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali. – 16 November, 2017.
Komen