PAC syor kontraktor Hospital Sultanah Nora Ismail disenarai hitam


Nabihah Hamid

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara yang mengadakan lawatan kerja ke Hospital Sultanah Nora Ismail pada 2 Oktober lalu merumuskan reka bentuk projek tidak menepati piawaian. – Gambar Wikipedia, 16 November, 2017.

KEMENTERIAN Kerja Raya (KKR) perlu menyenaraihitam kontraktor yang cuai dalam Projek Naik Taraf Hospital Sultanah Nora Ismail, saran Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“JKR perlu menyenaraihitamkan perunding dan kontraktor Projek Naik Taraf Hospital Sultanah Nora Ismail berikutan kecuaian serta kelewatan projek,” kata pengerusinya, Hassan Arifin.

PAC Parlimen mengadakan lawatan kerja ke hospital tersebut pada 2 Oktober lalu dan merumuskan reka bentuk projek tidak menepati piawaian.

“Walaupun projek ini dilaksana secara rundingan terus serta reka dan bina, JKR sepatutnya sejak awal harus meneliti kelemahan dalam beberapa komponen reka bentuk projek yang didapati tidak sesuai dan tidak mencapai standard hospital,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam mesyuarat prosiding, ahli-ahli PAC membangkitkan Sijil Perakuan Kerja (CPC) dikeluarkan setahun lebih awal, kelewatan membaiki kecacatan, kerugian tidak langsung dan peranan JKR memantau projek.

Antara syor lain disarankan ialah KKR membuat laporan kepada lembaga profesional yang berkaitan kecuaian dilakukan perunding.

Perunding yang dilantik juga perlu berdaftar di bawah Kementerian Kewangan selain kontraktor dilantik perlu berdaftar dengan CIDB di bawah pengkhususan iaitu B04 dan B29.

Selain itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu mematuhi semua garis panduan mereka sendiri dan pekeliling yang dikeluarkan perbendaharaan dalam melaksanakan projek.

Kos hospital di Batu Pahat berjumlah RM200.7 juta dilaporkan lewat kerana pihak kontraktor kurang berpengalaman.

Pembinaanya bermula pada 2008 sebelum diserahkan kepada Kementerian Kesihatan pada 2012.

Tindakan Kementerian Kewangan yang melantik secara tergesa-gesa kontraktor kurang pengalaman memberi kesan kepada mutu dan kualiti pembinaan projek menaik taraf Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, Johor.

Laporan Ketua Audit Negara 2014, siri ketiga menyebut projek tersebut sepatutnya berakhir pada 15 Disember 2010.

Kontraktor, Sejagat Bakti Sdn Bhd didapati menyerahkan hospital berkenaan kepada Kementerian Kesihatan setahun selepas projek itu diberikan Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC), walaupun masih ada beberapa kerja tidak mengikuti spesifikasi ditetapkan, lapor Malaysiakini. – 16 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen