Diskriminasi sawit Malaysia, BN ancam sekat perdagangan Eropah


Nabihah Hamid

Ahli Parlimen BN mahu Malaysia dan Indonesia membuat sekatan perdagangan dengan negara Kesatuan Eropah kerana menyekat eksport sawit ke negara itu baru-baru ini. Menurut jurucakapnya, Ahli Parlimen Jasin, Ahmad Hamzah, ia sebagai tindakan balas bagi membantah tindakan diskriminasi yang didakwa hanya mahu menjejaskan pasaran sawit negara. – Gambar EPA, 15 November, 2017.

AHLI Parlimen Barisan Nasional (BN) mahu Malaysia dan Indonesia membuat sekatan perdagangan dengan negara Kesatuan Eropah (EU) kerana menyekat eksport sawit ke negara itu baru-baru ini.

Menurut jurucakapnya, Ahli Parlimen Jasin, Ahmad Hamzah, ia sebagai tindakan balas bagi membantah tindakan diskriminasi yang didakwa hanya mahu menjejaskan pasaran sawit negara. 

Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) itu mendakwa ada segelintir pelobi di Eropah tidak mahu produk minyak sawit Malaysia dan Indonesia dipasarkan secara meluas di sana.

“Kita tahu memang ada pelobi di Eropah yang sengaja menjaja cerita tidak benar terhadap produk kelapa sawit. Malah kita dapat maklumat ada produk yang dipasarkan disana digalakan untuk meletakkan label tanpa minyak sawit.

“Kita akan mengenakan sekatan perdagangan pada mereka (Eropah). Kalau dia boleh buat (sekatan) kita, kita pun boleh buat dia juga,” katanya pada satu sidang media di parlimen.

Selain Ahmad sidang media itu turut dihadiri 7 ahli parlimen BN antaranya Pengerusi RISDA,  Zahidi Zainul Abidin (Ahli Parlimen Padang Besar); Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM), dan Dr Muhammad Leo Michael Toyad Abdullah (Ahli Parlimen Mukah).

Menurut jurucakapnya, Ahli Parlimen Jasin, Ahmad Hamzah, ia sebagai tindakan balas bagi membantah tindakan diskriminasi yang didakwa hanya mahu menjejaskan pasaran sawit negara. – Gambar The Malaysian Insight, 15 November, 2017.

Ahmad turut menyatakan sokongan terhadap kenyataan Perdana Menteri Najib Razak dan Presiden Indonesia, Joko widodo untuk mencari satu resolusi dan tindakan bersama dalam mengatasi sekatan itu.

Najib dan Joko Widodo membangkitkan isu itu semasa Sidang Kemuncak Asean-EU yang turut dihadiri Presiden EU, Donald Tusk.

“Saya tegaskan tindakan diskriminasi ini akan mengakibatkan kesan buruk kepada industri kelapa sawit, menjejaskan punca pendapatan dan kebajikan lebih 600,000 pekebun kecil di Malaysia dan 17.5 juta di Indonesia,” katanya dipetik Bernama.

Pada April lalu, Parlimen Eropah meluluskan satu resolusi yang mensyaratkan hanya minyak sawit dihasilkan secara lestari boleh diimport ke pasaran EU selepas 2020.

Pada 2016, EU merupakan destinasi eksport yang penting bagi minyak sawit Malaysia, berjumlah 3.63 juta tan metrik yang bernilai RM10.3 bilion, naik 4.14% berbanding RM9.89 bilion pada tahun sebelumnya. – 15 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen