Kerajaan pertimbang BR1M tambahan jika harga minyak terus naik


Nabihah Hamid

Kerajaan akan pertimbangkan bantuan tambahan kepada penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia sekiranya harga minyak mentah dunia terus meningkat, kata Menteri Kewangan Kedua Johari Abdul Ghani di Parlimen hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 November, 2017.

KERAJAAN akan mempertimbangkan pemberian bantuan tambahan untuk penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sekiranya harga minyak mentah dunia terus mencatatkan peningkatan.

Menteri Kewangan Kedua Johari Abdul Ghani berkata ia boleh dilaksanakan sekiranya kerajaan mendapat lebihan pendapatan daripada kenaikan harga minyak.

“Soal minyak ini kalau masih ingat tahun 2008 harga minyak cecah ASD140 setong, lebih kurang ASD115 secara purata. Dan pada ketika itu kita tiada BR1M tapi minyak kita di pasaran RM2.70.

“Jadi kita sekarang ini (harga minyak) RM2.31 sen kerajaan ambil maklum terhadap peningkatan minyak ini.

“Mungkin, kalaulah pendekatan ini kerajaan mendapat lebihan (pendapatan) yang boleh kita sumbangkan kepada peningkatan masyarakat berpendapatan rendah iaitu penerima-penerima BR1M ini.

“Kemungkinan besar kita boleh mempertimbangkan BR1M sedikit extra tapi extra ini tidak tetap kerana apabila jatuh (harga minyak) kita akan kurang (BR1M),” katanya ketika sesi penggulunggan Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 di Dewan Rakyat.

Johari yang juga ahli Parlimen Titiwangsa dalam pada itu turut menjelaskan meskipun minyak mencatatkan kenaikan 19 kali namun ia hanya memberi kesan sebanyak 1 sen setiap liter.

“12 kali (minyak turun) total 74 sen, 19 kali naik 75, jadi kita tengok kesan 1 sen,” katanya lagi.

Harga minyak bagi minggu 9 hingga15 November naik dengan RON95 naik 7 sen daripada RM2.24 sen seliter kepada RM2.31.

Manakala RON97 naik 6 sen daripada RM2.54 seliter kepada RM2.60 dan diesel naik 3 sen daripada RM2.17 seliter kepada RM2.20.

Minggu lalu, Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli mencadangkan kerajaan memberikan subsidi 20 sen per liter petrol untuk bulan Disember dan Januari. 2018.

Menurutnya, dua bulan itu adalah bulan paling sukar untuk banyak keluarga terutama mereka yang mempunyai anak bersekolah kerana mereka perlu mengeluarkan lebih belanja sempena sesi baharu persekolahan yang akan dibuka. – 15 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen