KEMENTERIAN Pendidikan masih mengekalkan dasar hukuman rotan terhadap pelajar di sekolah bagi menangani masalah disiplin.
Timbalan menterinya, Chong Sin Woon berkata tindakan berkenaan bagaimanapun hanya diambil selepas pelajar diberikan amaran lisan dan bertulis.
“Dasar kita masih kekal. Kita mempunyai SOP (prosedur operasi standard) untuk mengambil tindakan terhadap pelajar yang melanggar peraturan sekolah dan mempunyai masalah disiplin.
“Ia termasuklah rotan maksimum tiga kali untuk pelajar lelaki di bahagian tangan dan secara tertutup. Ini dasar yang kita masih laksanakan.
“Tetapi sebelum tindakan itu diambil, pelajar akan diberi amaran termasuk amaran secara lisan, amaran keras, amaran bertulis, berjumpa ibu bapa. Selepas itu barulah sampai kepada tindakan merotan,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff di Dewan Rakyat.
Siti Zailah mahu mengetahui sejauh mana dasar kementerian terutamanya penegasan terhadap hukuman rotan yang boleh diguna pakai oleh guru untuk mendisiplinkan pelajar.
Chong Sin Woon sebelum itu memberitahu sidang dewan bahawa kementerian telah menjalankan pelbagai program untuk menangani masalah disiplin selain memantau perkembangan disiplin pelajar melalui pegawai perhubungan sekolah dari lantikan pegawai polis.
“Antara langkah yang diambil adalah mengadakan lawatan ke sekolah bagi memantau dan meneliti perkembangan disiplin murid. Melakukan perbincangan pihak pengurusan sekolah mengenai perlakuan murid bermasalah.
“Mengadakan ceramah dan pameran berkaitan pencegahan jenayah. pencegahan penyalahgunaan dadah dan keselamatan jalan raya,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Tanjong Piai, Wee Jeck Seng.
Wee sebelum itu mahu mengetahui peranan pegawai perhubungan sekolah dalam menangani masalah disiplin pelajar. – 15 November, 2017.
Komen