Klinik kerajaan terima 76,000 kes sakit mental


Nabihah Hamid

Sebanyak 76,061 kes sakit mental mendapat rawatan di klinik kesihatan dan hospital kerajaan pada 2016, kata Menteri Kesihatan Dr S Subramaniam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 November, 2017.

SEBANYAK 76,061 kes sakit mental mendapat rawatan di klinik kesihatan dan hospital kerajaan pada 2016, kata Menteri Kesihatan Dr S Subramaniam.

Bagaimanapun, katanya jumlah pesakit yang menerima rawatan tersebut hanya meningkat 1% iaitu 74,965 kes.

“Pesakit yang mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan, Jabatan Pesakit Luar, Unit Kecemasan dan Klinik Pakar pada 2015 adalah 74,965 kes dan 2016 sebanyak 76,061 iaitu peningkatan 1%,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin.

Zuraida bertanya statistik terkini pesakit yang mengalami masalah mental di Malaysia.

Sementara itu, Dr Subramaniam berkata kes sakit mental yang dibenarkan keluar dari hospital menurun 4%.

“Statistik kes mengalami masalah mental yang dibenarkan keluar wad hospital kerajaan pada 2015 sebanyak 21,371 kes.

“Bagi 2016, sebanyak 20,430 kes iaitu penurunan 4,” katanya dalam jawapan bertulis itu.

Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2015, kira-kira 4.2 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas atau 29.2% penduduk mengalami pelbagai masalah mental.

Ia merupakan peningkatan 11.2% berbanding 2006.

Zuraida pada sidang dewan minggu lalu bertanyakan soalan apakah rancangan Kementerian Kesihatan untuk mengatasi masalah kesihatan mental di Malaysia.

Dr Subramaniam berkata pelbagai usaha sedang dan sudah dijalankan, antaranya membuat program Kesihatan Mental Komuniti meliputi aktiviti saringan mengesan awal tahap stres.

“Bagi mempertingkatkan kemahiran menangani stres, usaha mempromosikan kesihatan mental dan mencegah penyakit mental dilaksanakan melalui latihan kemahiran daya,” katanya menjawab soalan Zuraida.

Katanya, Program Minda Sihat turut diadakan di kalangan murid tingkatan empat di 2,343 sekolah menengah seluruh negara. – 14 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen