Nelayan gesa kerajaan hapuskan bot penceroboh asing


Nabihah Hamid

Ahli Parlimen Kuala Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata hampir 40 nelayan yang ditemuinya di Jeti Utama Nelayan di Pulau Kambing, Kuala Terengganu kecewa dengan sikap tidak tegas kerajaan yang melepaskan kembali bot nelayan warga Vietnam yang dirampas dengan mudah. – Gambar The Malaysian Insight, 13 November, 2017.

HAMPIR 40 nelayan menggesa pihak berkuasa menghapuskan bot-bot nelayan asing yang menceroboh perairan Malaysia, kata Ahli Parlimen Kuala Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad. 

Raja Bahrin berkata, kerajaan perlu lebih tegas menangani masalah penceroboh seperti negara Indonesia yang meletupkan bot penceroboh.

“Hampir 40 nelayan yang saya jumpa. Seperti saya biasa lakukan apabila pulang dari sesi Parlimen pada hari Jumaat lepas, saya telah ke Jeti Utama Nelayan di Pulau Kambing, Kuala Terengganu.

“Saya dapati hampir kesemua yang ditanya memberi komen sinis tentang operasi tersebut dengan menyatakan nelayan warga Vietnam dan bot mereka akan di lepaskan tidak berapa lama lagi serta bot mereka yang dirampas akan kembali beroperasi semula secara haram. 

“Nelayan juga kecewa dengan sikap tidak tegas kerajaan yang melepaskan kembali bot yang dirampas dengan mudah sementara  pihak berkuasa Indonesia lebih tegas dengan memusnahkannya,” katanya dalam satu sidang media di Parlimen hari ini. 

Raja Bahrin merujuk tangkapan pihak berkuasa yang dilihat aktif menangkap nelayan asing terutamanya daripada Vietnam baru-baru ini di seluruh negara.

Pada 9 November lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim dalam jawapan bertulis di Parlimen berkata sehingga 16 Oktober lalu, sebanyak 63 kes penceroboh Vietnam berbanding 39 tangkapan pada tahun lalu.

“Selepas tauke itu datang balik dan bayar denda mereka (pihak berkuasa) lepaskan begitu sahajalah. Jadi, bagi mereka denda dua atau tiga ribu adalah kecil. Sekali mereka buat tangkapan laut itu beratus ribu hasilnya,” katanya yang kesal tindakan sambil lewa kerajaan. 

Pada 14 Oktober lalu, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan pencerobohan dan rompakan hasil laut mengakibatkan negara rugi sehingga RM6 bilion setahun dan mengarahkan pihak berkuasa menanganinya dengan serius.

“Kita rugi antara RM3 bilion hingga RM6 bilion setahun akibat pencerobohan nelayan asing yang merompak hasil laut negara.

“Penguatkuasaan lebih tegas penting bagi memelihara kepentingan nelayan yang memberi sumbangan besar kepada negara dan rakyat dalam membekalkan makanan laut,” katanya dipetik Berita Harian. – 13 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen