1,410 pelajar sekolah pernah cuba dadah


Nabihah Hamid

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata ia merupakan 0.03% daripada 4.7 juta pelajar di seluruh negara yang mana hampir 76% mencuba dadah jenis metaphetamin selain ganja, amphetamin dan ketamin. Kementerian bagaimanapun tidak memberikan maklumat terperinci pecahan umur pelajar tersebut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2017.

SERAMAI 1410 pelajar sekolah dikenal pasti pernah mencuba dadah sehingga Julai tahun ini, kata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Ia merupakan 0.03% daripada 4.7 juta pelajar di seluruh negara yang mana hampir 76% mencuba dadah jenis metaphetamin selain ganja, amphetamin dan ketamin.

“Daripada peratusan tersebut, pecahan mengikut jenis dana yang dicuba ialah 75.68% (1,067 pelajar) jenis metaphatemin, 16.73% (235 pelajar) jenis ganja, 5.17% (72 pelajar) opiat, 2.23% (31 pelajar) dan 0.19%s (2 pelajar) dadah jenis ketamin,” jawab Timbalan Menteri Pendidikan Senator Chong Sin Woon dalam sidang Dewan Rakyat.

Kementerian bagaimanapun tidak memberikan maklumat terperinci pecahan umur pelajar tersebut. 

Ahli Parlimen Kota Raja Dr. Mariah Mahmud sebelum ini meminta statistik bilangan pelajar yang mencuba dadah dan mahu mengetahui langkah-langkah yang diambil kerajaan bagi membendung gejala itu. 

Bagaimanapun, Dr Mariah berkata meskipun angka menunjukkan jumlah kecil namun beliau menyebut siasatan Bukit Aman yang meningkat. 

Justeru pada soalan tambahan, beliau bertanya apakah tindakan susulan yang diambil kepada pelajar yang mencuba tersebut bagi mencegah pengambilan dadah. 

Kementerian menjawab pelajar yang pernah mencuba dadah akan diberikan kaunseling selama tiga bulan selain mengulangi ujian air kencing. 

Bagaimanapun, proses ujian air kencing hanya dibuat terhadap pelajar yang berisiko tinggi dan dikendalikan Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK).

“Kementerian tiada peruntukan. Jadi kita kenal pasti kumpulan berisiko tinggi sahaja. Kalau kita hendak buat ia akan melibatkan kos tinggi melibatkan 4.7 juta murid.

“Dan ia akan beri kesan negatif terhadap murid termasuk ibu bapa akan membuat bantahan,” katanya menjawab kepada Dr Mariah. 

Chong Sin Woon turut berkata usaha membanteras gejala dadah di kalangan pelajar sekolah dimulakan sejak tahun 1986 lagi. – 13 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen