PAS belum bincang tadbir negeri dengan Umno, kata naib presiden


Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah berkata PAS ketika ini fokus untuk menyelesaikan pelantikan menteri, untuk mengganggotai Kabinet yang diketuai Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mac, 2020.

PAS belum mengadakan perbincangan secara rasmi mengenai pembahagian kuasa dengan Umno, di negeri-negeri yang dikuasainya setakat ini.

Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah berkata PAS ketika ini fokus untuk menyelesaikan pelantikan menteri, untuk mengganggotai Kabinet yang diketuai Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Tak ada perbincangan lagi setakat ini mengenai pembahagian kuasa dengan Umno di peringkat negeri. Saya salah seorang ahli Lajnah Politik (PAS), tak ada, kita tak bincang apa lagi.

“Isu sekarang ini kita nak selesaikan pembentukan Kabinet, supaya pentadbiran boleh berjalan dengan baik terutama untuk menyelesaikan masalah ekonomi. Yang (pembahagian kuasa di) negeri itu peringkat lain,” katanya.

PAS kini menguasai kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Ijtimak Pondok Malaysia di Pondok Pasir Tumboh di Kota Bharu, yang turut dihadiri Ketua Dewan Ulama PAS Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Ahli Jawatankuasa PAS Mokhtar Senik hari ini.

Dalam pada itu, Amar berkata semua pihak perlu menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang memutuskan untuk melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan.

“Pelantikan itu dibuat menerusi undang-undang dan mengikut prosedur jadi sepatutnya semua pihak menghormati keputusan Seri Paduka.

“Seri Paduka ada budi bicara sendiri dan sudah tentu Seri Paduka telah mendapat nasihat daripada ahli-ahli perundangan sebelum membuat keputusan. Daripada apa yang kita faham semua itu telah mengikut prosedur jadi tak sepatutnya keputusan itu dipertikaikan,” katanya. – Bernama, 7 Mac, 2020.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen