PROJEK Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) kekal berjumlah RM55 bilion dan 85% pembiayaan diperolehi melalui pinjaman mudah dari Bank Exim China, kata Kementerian Kewangan.
Manakala baki 15% diperolehi melalui sukuk atau bon Islamik yang diutuskan institusi kewangan tempatan.
“Struktur pembiayaan ini akan menjimatkan kos pembiayaan syarikat melalui kadar faedah yang kompetitif, manakala kupon untuk terbitan sukuk tempatan ditentukan berdasarkan pasaran semasa,” kata kementerian dalam satu jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham.
Ngeh Koo Ham di Dewan Rakyat meminta kerajaan mendedahkan siapa dan berapa jumlah yang dibiayai dalam projek ECRL.
Beliau juga mahu mengetahui bagaimana kos ECRL tersebut akan dibayar balik.
Menurut Kementerian Kewangan, bayaran semula dibuat menerusi pendapatan daripada operasi ECRL seperti kutipan tambang penumpang dan perkhidmatan kargo dan pendapatan bukan operasi (non fare reveneu) seperti pengiklanan, telekomunikasi dan peruncitan.
Dalam pada itu, Ngeh Koo Ham menggesa kerajaan mencari jalan untuk memastikan pembiayaan ECRL mampu dibayar dan tidak membebankan rakyat dengan harga tiket yang tinggi.
“Saya mengatakan bahawa kerajaan sekarang ini ada ikhtiar menggunakan wang yang banyak untuk projek-projek besar hinggakan tiada wang untuk projek perbelanjaan.
“Sebenarnya apa sahaja projek yang dirancang, pendapatan mestilah mencukupi untuk mendapat pembayaran balik hutang projek tersebut.
“Kalau ada nak bina mesti ada wang sendiri dan bukan melalui pinjaman kerana akhirnya ia akan membebankan rakyat kerana tambang yang dikenakan akan jadi terlalu tinggi,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Kos ECRL sebelum ini dilaporkan akan mencecah RM60 bilion berbanding anggaran sedia ada yang berjumlah RM55 bilion berikutan landasan berkembar sejauh 688km.
The Edge turut melaporkan jumlah itu dijangka melonjak kepada antara RM60 bilion hingga RM70 bilion kerana kos semasa tidak mengambil kira kos pengambilan tanah untuk laluan itu.
Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar ECRL (EIA) menggambarkan projek itu sebagai “landasan keretapi landasan tunggal yang dibina di atas pembentukan dua landasan”.
“Ini bermakna infrastruktur bagi landasan berkembar telah ada sejak awal. Bagaimanapun, pembinaan laluan kedua, termasuk sistem dan isyarat, tidak termasuk (dalam anggaran semasa), itu yang menyebabkan kos tambahan,” kata sumber itu. – 13 November, 2017.
Komen