Penganut Yahudi disaran tidak memakai kippah di Jerman 


Pemakaian kippah di tempat awam kini tidak digalakkan berikutan sentimen anti-yahudi yang menjalar dalam masyarakat Jerman. – Gambar EPA, 25 Mei, 2019.

PESURUHJAYA kerajaan Jerman berkenaan anti-semitisme memberi amaran kepada penganut Yahudi tentang kewujudan potensi bahaya memakai topi kippah tradisional dalam menghadapi serangan anti-Yahudi yang semakin meningkat di negara itu.

“Saya tidak nasihatkan orang Yahudi untuk memakai Kippah di mana-mana dan sepanjang masa di Jerman,” kata Felix Klein dalam sebuah wawancara yang disiarkan Sabtu oleh kumpulan akhbar daerah Funke.

Ketika mengeluarkan amaran tersebut, beliau berkata “sayangnya, saya ubah fikiran saya (mengenai perkara ini) berbanding sebelum ini (yang mengatakan tidak mengapa untuk memakainya).”

Klein berkata, “internet dan media sosial telah banyak menyumbang kepada perkara ini - tetapi begitu juga dengan serangan berterusan terhadap budaya kita kononnya untuk peringatan.”

Dan beliau mencadangkan polis, guru dan peguam perlu dilatih dengan lebih baik untuk mengenal pasti kelakuan yang “jelas” tidak boleh diterima dan “apa yang dibenarkan dan apa yang tidak”.

Komentar beliau itu tampil hanya selepas beberapa minggu seorang pakar undang-undang terkemuka Berlin mendedahkan bahawa anti-semitisme semakin menebal dalam masyarakat Jerman.

“Anti-Semitisme memang sudah wujud di sini, tetapi saya fikir baru-baru ini, ia semakin kuat, lebih agresif dan terang-terangan,” kata Claudia Vanoni kepada AFP dalam satu wawancara, di samping turut menambah masalah itu “sangat berakar” dalam masyarakat Jerman. – AFP, 25 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen