SAN Francisco bakal mewujudkan fasiliti untuk penagih dadah mendapatkan “suntikan selamat”, apabila rang undang-undang mengenainya diluluskan Dewan Undangan Negeri California, lapor agensi berita Xinhua memetik media tempatan.
Andai rang undang-undang itu diluluskan Senat negeri dan Gabenor California, Gavin Newsom, membolehkan San Francisco membuka fasiliti pertama di negara ini, walaupun kemudahan sedemikian masih menyalahi undang-undang persekutuan.
Rang undang-undang itu dibentangkan bersama Anggota Majlis California, Susan Eggman dari bandar Stockton dan Senator Scott Wiener dari San Francisco. Ia mendapat sokongan Datuk Bandar San Francisco, London Breed.
Breed adalah penyokong tegar untuk mewujudkan fasiliti itu, kerana ia dapat menghalang penagih menjalankan aktiviti mereka di kawasan umum.
Ia juga dapat memastikan penagih menggunakan jarum yang bersih dan mengelakkan suntikan berlebihan, selain membendung penularan penyakit berjangkit.
Tahun lalu, cadangan itu dimansuhkan apabila bekas Gabenor California, Jerry Brown menggunakan kuasa vetonya.
Laporan media mengatakan San Francisco mempunyai lebih 20,000 penagih, kira-kira 200 kematian dicatatkan setiap tahun sebahagian besarnya disebabkan suntikan berlebihan. – Bernama, 25 Mei, 2019.
Komen