TUGAS anggota parlimen (MP) dari Parti Future Forward Thailand Thanathorn Juangroongruangkit digantung sementara waktu sejurus selepas mengangkat sumpah jawatan di Dewan Rakyat pada hari ini, lapor agensi berita Xinhua.
Mahkamah Perlembagaan pada Khamis menerima petisyen Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Thailand dan menggantung sementara tugas Thanathorn sebagai MP.
SPR menuduh Thanathorn memegang saham dalam sebuah firma media yang bertentangan dengan undang-undang.
Terdahulu sidang pertama Dewan Rakyat diadakan pada Sabtu pagi dengan Chai Chidchob, 91, dari Partai Bhumjaithai, MP paling tua bertindak sebagai speaker dewan.
Chai bersama semua anggota parlimen yang hadir melafazkan sumpah untuk melaksanakan tugas secara jujur dan menegakkan perlembagaan demi faedah negara juga rakyat.
Pemangku speaker itu kemudian memohon Ketua Setiausaha Dewan untuk membacakan perintah mahkamah yang dikenakan ke atas Thanathorn agar menggantung tugasnya sebagai MP sehingga kes mahkamah beliau selesai.
Ketika ditemui pemberita selepas itu,Thanathorn berkata, “saya akan terus bekerja dan bertemu dengan rakyat untuk mengetahui masalah mereka dan memaklumkannya kepada rakan MP yang lain.” – Bernama, 25 Mei, 2019.
Komen