Budak mati gagal dapat rawatan, kerajaan Venezuela salahkan pembangkang


Januari lalu, AS mengenakan sekatan ke atas Petroleos de Venezuela (PDVSA), syarikat minyak milik negara Venezuela. Ia melarang Citgo, anak syarikat berpangkalan di AS, PDVSA daripada membuat bayaran terus kepada Venezulea untuk hasil minyak. – Gambar AFP, 25 Mei,2019.

NAIB Presiden Venezuela, Delcy Rodriguez pada Jumaat menuduh pembangkang bertanggungjawab menyebabkan kematian seorang kanak-kanak, dengan menghentikan program pemindahan tulang sum-sum, lapor agensi berita Xinhua.

Kanak-kanak itu maut kerana tidak dapat menerima rawatan akibat sekatan oleh Amerika Syarikat (AS) yang didalangi pihak pembangkang, tulis Rodriguez dalam Twitternya pada Jumaat.

Januari lalu, AS mengenakan sekatan ke atas Petroleos de Venezuela (PDVSA), syarikat minyak milik negara Venezuela. Ia melarang Citgo, anak syarikat berpangkalan di AS, PDVSA daripada membuat bayaran terus kepada Venezulea untuk hasil minyak. 

Citgo menyediakan dana untuk program kesihatan di Venezuela, membolehkan pesakit menerima rawatan di institusi perubatan asing.

Menteri Luar Venezuela, Jorge Arreaza pula menulis di Twitternya “sesungguhnya satu lagi nyawa kanak-kanak terkorban kerana menunggu pemindahan tulang sum-sum, akibat sekatan AS.”

Kematian kanak-kanak itu disahkan setiausaha eksekutif Majlis Kebangsaan Hak Asasi Manusia Venezuela,Larry Devoe.

“Lebih 500 pesakit menerima rawatan di bawah program pemindahan tulang sum-sum PDVSA-Citgo, sebelum menerima kesan akibat sekatan ekonomi agresif oleh pentadbiran Donald Trump,” kata Devoe.

Pentadbiran Trump pada 28 Januari mengumumkan sekatan terhadap PdVSA.

Sebelum itu, AS mengiktiraf pemimpin pembangkang, Juan Guaido sebagai presiden sementara Venezuela. – Bernama, 25 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen