SEKURANG-KURANGNYA 19 pelajar kebanyakannya perempuan maut apabila sebuah bangunan kolej di India terbakar.
Jurucakap bomba bandar Surat Deepak Sapthaley berkata, mangsa maut akibat kebakaran tersebut selain terjun dari bangunan kerana mahu menyelamatkan diri.
Imej menunjukkan api berwarna jingga dan asap hitam keluar dari bangunan.
Sapthaley berkata, ketika kejadian yang berlaku pada tengah hari semalam dianggarkan seramai 50 hingga 60 pelajar berada dalam kolej latihan tersebut yang terletak di tingkat paling atas bangunan terbabit.
“Punca kebakaran belum dikenal pasti,” katanya.
Pegawai perubatan di Institut Pendidikan Perubatan dan Penyelidikan Surat Jayesh M Patel berkata, jumlah kematian meningkat kepada 19 orang termasuk 16 pelajar perempuan.
“Seramai 16 maut akibat kebakaran sementara tiga lagi meninggal dunia akibat kecederaan selepas terjatuh dari bangunan yang terbakar,” katanya.
Perdana Menteri Narendra Modi menerusi laman Twitternya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang maut selain mendoakan mangsa yang cedera segera sembut.
“Saya telah meminta Kerajaan Gujarat dan pihak berkuasa tempatan untuk menyalurkan semua bantuan kepada mereka yang terjejas,” katanya.
Pegawai tempatan mengatakan api merebak dengan cepat kerana bahan yang digunakan di bahagian bumbung.
Kebakaran bermula pada petang Jumaat ketika pelajar sedang berada di dalam kelas.
Dalam pada itu, media tempatan melaporkan angka kematian berkemungkinan meningkat ekoran masih ramai mangsa yang dirawat di hospital. – AFP, 24 Mei, 2019.
Komen