SEORANG hakim di AS digantung tugas enam bulan tanpa gaji selepas membuat kenyataan menghina terhadap Donald Trump, termasuklah mengecam “ketidakmampuannya mentadbir dan ketidakcekapan berpolitik.”
Hakim Utah Michael Kwan digantung awal minggu ini oleh Mahkamah Agung Negeri yang berkata tindakannya melanggar kod etika kehakiman dan menjejaskan reputasi badan kehakiman.
“Tindakan Hakim Kwan menjejaskan reputasi sebagai hakim yang perlu tidak berpihak, bebas, bermaruah dan beradab dan tidak menggunakan kedudukan pejabatnya berkhidmat,” kata mahkamah dalam kertas penghakiman setebal 19 muka surat itu.
Berkaitan dengan catatan Kwan tentang Trump di Facebook dan LinkedIn, mahkamah berkata ia “dipenuhi dengan kecaman terang-terangan dan kadang-kadang tidak berlapik.”
Kwan yang berkhidmat sebagai hakim bandar Taylorsville sejak dua dekad lepas dan mempunyai sejarah salah laku berkaitan dengan komen politik dan amarah, mengakui tindakannya tidak sesuai untuk seorang hakim.
Tetapi, dalam kenyataannya, beliau menyebut yang kenyataan politiknya bersifat jenaka dan berhujah yang penggantungan itu merupakan pencabulan terhadap hak bersuaranya. – AFP, 25 Mei, 2019.
Komen