PENTADBIRAN Donald Trump semalam mengabaikan proses mendapatkan kelulusan Kongres untuk menjual AS$8.1 bilion senjata api kepada Arab Saudi dan sekutu Arab lain.
Ia menggunakan ancaman Iran sebagai alasan seterusnya mencetuskan kemarahan wakil rakyat yang bimbang ia akan digunakan untuk membunuh orang awam di Yaman.
Setiausaha Negara Mike Pompeo berkata pentadbiran akan mengabaikan syarat mendapat kelulusan Kongres untuk 22 perjanjian senjata api kepada Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Jordan, berkata pembekuan jualan dibuat Kongres tidak boleh melumpukan kemampuan operasi sekutu Arabnya.
Senjata itu termasuklah letupan dan sokongan pesawat bertujuan “untuk mengurangkan ancaman Iran dan membangunkan kemampuan pertahanan rakan,” kata Pompeo dalam satu kenyataan.
Penjualan itu diumumkan awal Jumaat oleh Senator Robert Menendez, yang menggunakan kuasanya untuk menghalang penghantaran ribuan bom teknologi tinggi kepada Arab Saudi dan UAE, bimbang ia digunakan untuk memburukkan krisis kemanusiaan di Yaman.
Katanya, pentadbiran gagal memenuhi definisi perundangan tentang kecemasan dan berikrar untuk terus menentang keputusan itu.
“Nyawa ribuan orang bergantung kepada perkara ini,” katanya.
Senator Dianne Feinstein pula berkata AS perlu berundur daripada terus memberikan lebih banyak senjata kepada Arab Saudi.
“Perang diketuai Arab Saudi di Yaman bukan kecemasan, ia jenayah terhadap kemanusiaan,” katanya.
Penjualan itu berlaku selepas Trump menggunakan kuasa vetonya untuk membatalkan keputusan Kongres menghentikan sokongan AS kepada perang di Yaman diketuai Arab Saudi. Perang itu sudah membunuh ratusan ribu orang, berjuta lagi berdepan risiko kebuluran dan dianggap PBB sebagai krisis kemanusiaan terburuk sedang berlaku.
Tetapi, Trump dalam usaha memerangi pengaruh Iran di Timur Tengah, semalam turut mengumumkan penghantaran tambahan 1,500 tentera AS ke rantau itu.
Sokongan kepada Arab Saudi di Kongres semakin menurun selepas pembunuhan kejam wartawan Jamal Khashoggi, malah rakan Trump dalam Republikan juga sudah mula menarik sokongan kepada negara itu. – AFP, 25 Mei, 2019.
Komen