Skandal Samsung Electronics, waran tangkap keluar untuk 2 naib presiden


Samsung Electronics terlibat dalam skandal perakaunan melibatkan salah sebuah anak syarikatnya, dua naib presiden syarikat itu sudah mendapat waran tangkap. – Gambar AFP, 25 Mei, 2019.

MAHKAMAH Korea Selatan hari ini membenarkan pengeluaran waran tangkap ke atas dua naib presiden Samsung Electronics berkaitan skandal perakaunan, tetapi menolak waran untuk ketua syarikat farmasi gergasi industri itu, lapor agensi berita Yonhap.

Mahkamah Tengah Seoul berkata “wujud ruang pertikaian” terhadap peranan CEO Samsung BiloLogics Kim Tae Han dalam memusnahkan bukti pada 2015, kata agensi berita Korea Selatan itu lagi.

Samsung BioLogics adalah syarikat farmasi ketiga terbesar dunia dalam aspek pegangan pasaran, dan merupakan salah sebuah 10 syarikat bernilai Korea Selatan.

Pada November tahun lepas, Suruhanjaya Perkhidmatan Kewangan (FSC) berkata syarikat berpangkalan di Incheon itu “dengan sengaja” melanggar peraturan perakaunan pada 2015, setahun sebelum IPO dengan menaikkan nilai anak syarikatnya.

Selepas menanggung kerugian bertahun-tahun, Samsung BioLogis mengubah kaedah penilaian 85% pegangannya dalam sebuah lagi anak syarikat, Samsung Bioepis, menaikkannya kepada 4.5 trilion won (AS$3.8 bilion) mewujudkan keuntungan bersih sebanyak 1.9 trilion won.

Berkaitan skandal sama, mahkamah membenarkan waran tangkap ke atas dua naib presiden Samsung Electronics berkaitan dakwaan memusnahkan dan memanipulasi bukti, menurut Yonhap.

Syarikat itu adalah anak syarikat utama Kumpulan Samsung, kumpulan gergasi industri kawalan keluarga terbesar dunia di kuasa ekonomi ke-11 dunia itu, dan pemain industri penting ekonomi Korea.

Yonhap melaporkan yang siasatan diperhebatkan selepas pendakwa raya menemui server komputer dan beribu buku nota disembunyikan di bawah lantai kilang Samsung BioLogics di Incheon, ketika serbuan awal bulan ini.

FSC November lalu mendenda Samsung BioLogics lapan bilion won (AS$6.8 juta) dan menggantung perdagangan sahamnya “buat sementara waktu” bagi memberikan masa kepada pihak berkuasa membuat keputusan sama ada ia perlu disingkirkan daripada senarai pasaran saham.

Ia juga meminta pendakwa raya menyiasat syarikat itu kerana penipuan perakaunan dan menasihati Samsung BioLogics memecat Kim Tae-han.

Samsung BioLogics dalam kenyataan berkata syarikat itu “yakin” mereka tidak melanggar mana-mana peraturan perakaunan, tetapi memohon maaf kerana “menyebabkan kekeliruan” dalam kalangan pelabur dan pelanggan.

Samsung menganggap perniagaan farmasi dan penjagaan kesihatan adalah jentera masa depan pertumbuhannya selain perniagaan telefon bimbit dan pengeluaran mikro cip.

Syarikat elektroniknya dilaporkan bulan lepas mengalami kerugian kerana pasaran cip lemah dan persaingan yang semakin sengit.

Reputasi Samsung terjejas selepas sabitan bersalah ke atas Lee Jae-Yong- anak dan waris Pengerusi Samsung sekarang Lee Kun-hee.

Jae-yong adalah tokoh utama dalam skandal rasuah yang menyingkirkan bekas presiden Korea Selatan Park Geun-hye dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada Ogos 2017.

Beliau dibebaskan Februari tahun lepas selepas berjaya membatalkan beberapa sabitan dalam rayuan. – AFP, 25 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen