Kajian dedah ‘pihak berkaitan Iran’ dalang kempen berita palsu


Makmal Warga di Universiti Toronto berkata kumpulan “berkaitan dengan Iran” menyamar sebagai media arus perdana menggunakan laman web palsu untuk “menyebarkan dan menghebahkan naratif palsu tentang Arab Saudi, Amerika Syarikat dan Israel.” – Gambar AFP, 25 Mei, 2019.

PENYELIDIK Kanada membongkar kempen maklumat palsu yang mungkin mempunyai kaitan dengan Iran termasuklah menyamar sebagai media arus perdana untuk penyebaran berita palsu mensasarkan Israel, Arab Saudi dan Amerika Syarikat. 

Makmal Warga di Universiti Toronto berkata kumpulan “berkaitan dengan Iran” menyamar sebagai media arus perdana menggunakan laman web palsu untuk “menyebarkan dan menghebahkan naratif palsu tentang Arab Saudi, Amerika Syarikat dan Israel.” 

Kumpulan yang digelar penyelidik sebagai “Endless Mayfly” itu akan menggunakan identiti dalam talian palsu untuk menghebahkan berita di Twitter atau memajukan link kepada pihak lain. 

Berita dikeluarkan media arus perdana sering kali digunakan oleh media lain. 

Penyelidik memberikan contoh kejadian pada 2017 berita Reuters yang berasal daripada berita palsu dikatakan dikeluarkan oleh akhbar Switzerland The Local. 

Berita dikeluarkan Reuters itu kemudiannya digunakan Global News, Jerusalem Post dan pelbagai media lain sebelum ditarik balik oleh agensi media itu. 

Kumpulan Endless Mayfly akan memadamkan rencana berita palsu itu tidak lama kemudian untuk menghilangkan jejak mereka, tetapi rujukan kepada berita palsu itu akan terus kekal berada dalam talian. 

Kumpulan itu mengeluarkan sekurang-kurangnya 135 berita tidak sah dan 72 laman web menyamar agensi media terkenal, menggunakan salah ejaan seperti theguaradian.com untuk akhbar Britain Guardian. Laman sebenar akhbar tersebut adalah theguardian.com. 

Berita palsu seperti CIA dalang rampasan kuasa di Turki, Arab Saudi membiayai kempen Presiden Perancis Emmanuel Macron dan negara Arab berpakat membuli Qatar untuk menghalangnya jadi tuan rumah Piala Dunia Fifa 2022 misalnya dibaca ribuan orang di seluruh dunia sejak 2016, kata Makmal Warga itu lagi. 

Penyelidik berkata mereka tidak “boleh membuat kesimpulan kukuh” bahawa Iran adalah dalang kempen tersebut, tetapi menambah yang “Iran atau pihak berkaitan Iran besar kemungkinan dalang sebenar”, menambah yang naratif berita palsu tersebut memberi kelebihan kepada kepentingan dan retorik politik Iran. 

Jelas mereka lagi, walaupun berjaya mengesan penghebahan berita palsu tersebut ia “tidak jelas sejauh mana operasi itu berjaya mempengaruhi pandangan awam.” – AFP, 25 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen