DUA bulan selepas Pilihan Raya Umum 24 Mac, sesi parlimen Thailand pertama sejak rampasan kuasa tentera 2014, dibuka secara rasminya hari ini.
Raja Maha Vajiralongkorn mengisytiharkan sesi parlimen dibuka, di lokasi parlimen sementara di Dewan Vithes Samsoon, Kementerian Luar, Bangkok, sementara bangunan parlimen baharu masih dalam pembinaan.
Turut hadir Pemaisuri Suthida dan Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha, menteri-menteri kabinet, duta dan juga para diplomat.
Kesemua 498 daripada 500 ahli parlimen (MP) (satu pilihan raya kecil akan diadakan bagi kawasan di Chiang Mai) dan 250 senator memakai uniform kakitangan awam untuk majlis perasmian itu.
Dalam perutusan Dirajanya, Raja Vajiralongkorn menggesa semua MP untuk bekerja bersama dengan jujur dan bijak.
“Semoga kesemua MP mengambil tanggungjawab mereka secara serius, kerana ia akan memberi kesan kepada keselamatan negara dan membawa kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.
Hari ini, 250 orang Senator akan mengundi bagi memilih speaker dan timbalan speaker, manakala Dewan Rakyat akan mengundi untuk memilih speaker dan timbalan speakernya esok.
Sementara itu, Pemimpin Parti ‘Future Forward’ Thanathorn Juangroongruangkit, yang digantung keahliannya oleh Mahkamah Perlembagaan semalam, juga hadir ke sesi pembukaan parlimen hari ini.
Thanathorn telah dituduh memiliki saham syarikat media sewaktu berlangsungnya Pilihan Raya Umum.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada Thanathorn boleh mengundi di Dewan Rakyat esok.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Wisanu Kruea-ngaram berkata, perdana menteri yang baharu akan dipilih sebelum hujung bulan ini.
Untuk menjadi perdana menteri, seseorang itu memerlukan 376 undi majoriti daripada 500 Ahli Dewan Rakyat dan 250, Senator.
Calon perdana menteri Palang Pracharat, Prayuth dijangka untuk mendapat sekurang-kurangnya 376 undi jika kesemua 250 senator memilihnya.
Democratic yang mewakili tujuh parti yang diketahui Pheu Thai, telah memenangi 245 kerusi dewan rakyat, kurang enam kerusi daripada majoriti di Dewan Rakyat. Mereka juga jauh kekurangan untuk menguasai undi senat bagi memilih perdana menteri. – Bernama, 24 Mei, 2019.
Komen