Seorang maut, 16 cedera bom meletup dalam masjid di Kabul


Antara mangsa yang cedera dalam kejadian letupan di sebuah masjid ketika solat Jumaat di bahagian timur Kabul. – Gambar EPA, 24 Mei, 2019.

SEORANG imam terbunuh manakala 16 orang cedera selepas satu letupan menggegar sebuah masjid ketika solat Jumaat di bahagian timur Kabul, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan jurucakap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Afghanistan.

Insiden itu berlaku di sebuah masjid apabila sebutir bom buatan sendiri yang diletakkan dalam premis itu diletupkan berhampiran Daerah Polis 9 bandar itu pada kira-kira pukul 1.20 tengah hari waktu tempatan, kata Nasrat Rahimi.

Imam masjid itu, Mawlawi Samiullah Raihan terbunuh dalam letupan itu manakala 16 mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital oleh polis dan pasukan penyelamat.

Angka korban mungkin berubah kerana sejumlah besar mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal.

Setakat ini tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab. – Bernama, 24 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen