Prabowo daftar kes cabar kemenangan Jokowi di mahkamah malam ini


Sandiaga Uno, regu calon presiden Prabowo Subianto melambai ke arah media selepas mengumumkan pasukannya akan memfailkan kes di Mahkamah Perlembagaan membantah keputusan pilihan raya malam ini. – Gambar AFP, 24 Mei, 2019.

PRABOWO Subianto dan regunya Sandiaga Uno yang disahkan kalah pemilihan presiden Indonesia akan memfailkan kes di Mahkamah Perlembagaan membantah keputusan pilihan raya malam ini, lapor media di republik itu.

Mereka dijadual memfailkan kes itu sebelum 10 malam waktu tempatan (11 malam waktu Malaysia), lapor Kompas, sebelum tempoh bantahan berakhir malam ini.

Polis dilaporkan mempersiapkan 800 anggota untuk berkawal di sekitar bangunan Mahkamah Perlembagaan susulan kekacauan dua malam pada Selasa dan Rabu lalu.

Peraturan pilihan raya Indonesia menetapkan pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan berhak mengemukakan bantahan ke mahkamah dalam masa tiga hari selepas keputusan diumumkan.

Mahkamah Perlembagaan menetapkan butiran kes dan bukti perlu dikemukakan sebelum 11 Jun manakala ia akan bersidang pada 14 Jun untuk membuat pertimbangan awal.

Prabowo-Sandiaga kalah kepada pasangan Joko Widodo dan Ma’aruf Amin dengan selisih kira-kira 16.6 juta undi, selepas suruhanjaya pilihan raya Indonesia pada Selasa lalu mengesahkan keputusan pilihan raya presiden.

Dalam pilihan raya yang berlangsung pada 17 April lalu, Jokowi-Amin meraih 55.5% undi, atau lebih 85 juta daripada 154 juta undi, dan menang di 21 daripada 34 daerah.

Dengan kemenangan itu, Jokowi kekal sebagai presiden untuk penggal kedua sehingga 2024 – juga kali kedua mengalahkan Prabowo.

Polis dilaporkan mempersiapkan 800 anggota untuk berkawal di sekitar bangunan Mahkamah Perlembagaan susulan kekacauan dua malam pada Selasa dan Rabu lalu. – Gambar EPA, 24 Mei, 2019.

Kekalahan Prabowo mencetuskan protes jalanan di depan bangunan pejabat badan pengawas pilihan raya di Jakarta Pusat, yang merebak ke beberapa kawasan berdekatan dan masih berterusan sehingga hari ini.

Semalam, Gabenor Jakarta Anies Baswedan mengumumkan lapan terbunuh sementara lebih 700 cedera dalam kekacauan dua malam itu.

Polis Indonesia pula mengumumkan 300 suspek perusuh ditahan, kebanyakannya mereka yang datang dari luar Jakarta dan disyaki diupah untuk menyertai tunjuk perasaan.

Prabowo menafikan beliau dan pegawai kempennya sebagai dalang tunjuk perasaan kerana sejak awal sudah mengumumkan akan mengajukan bantahan ke mahkamah.

Beliau yang sudah menyeru penyokongnya agar bertenang, menghormati undang-undang dan mengelak keganasan sebaliknya mendakwa kekacauan dicetuskan oleh anasir yang membuat provokasi.

Awal hari ini, Menteri Penyelaras Bidang Politik, Undang-undang dan Keamanan Wiranto menegaskan Prabowo harus bertanggungjawab terhadap penyokongnya jika kekacauan berulang lagi.

Semalam, Prabowo mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla, yang disambut pelbagai pihak sebagai petunjuk awal keadaan akan mula reda dalam waktu terdekat ini.

Media di Indonesia bagaimanapun melaporkan tiada sebarang butiran jelas isi pertemuan dua pemimpin itu. – Agensi, 24 Mei 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen