Tokyo perlu terima keputusan larangan makanan laut Fukushima, kata Seoul


Korea Selatan mengenakan sekatan import ke atas 28 jenis ikan ditangkap di lapan wilayah berhampiran Fukushima sejak September 2013 susulan insiden letupan loji tenaga nuklear pada 2011. – Gambar EPA, 24 Mei, 2019.

MENTERI Perdagangan Korea Selatan Yoo Myung Hee menggesa Jepun agar menerima keputusan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang mengekalkan sekatan import terhadap makanan laut Jepun oleh Seoul susulan bencana nuklear Fukushima 2011, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan kementerian itu.

Semasa satu perhimpunan tidak rasmi menteri-menteri perdagangan di WTO yang berlangsung di Perancis awal minggu ini, Yoo berkata keputusan akhir badan rayuan pertubuhan itu harus dihormati.

Yoo berkata tidak wajar Jepun terus mempersoalkan sistem penyelesaian pertikaian WTO.

Korea Selatan mengenakan sekatan import ke atas 28 jenis ikan yang ditangkap di lapan wilayah berhampiran Fukushima sejak September 2013 dengan alasan bimbang mengenai tahap radiasi mereka selepas insiden letupan loji tenaga nuklear.

Pada 2015, Jepun secara rasmi mengemukakan aduan kepada WTO berhubung larangan Korea Selatan dan syarat ujian tambahan dan keputusan asal badan itu pada mulanya memihak kepada Jepun pada 2018.

Bulan lepas, bagaimanapun, badan rayuan WTO mengetepikan keputusan terdahulunya dan berkata langkah yang diambil oleh kerajaan Seoul bukan sekatan perdagangan dan tidak tergolong dalam kategori diskriminasi sewenang-wenangnya. – Bernama, 24 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen