Pemuda didakwa 169 pertuduhan dera, seludup haiwan di Sydney


SEORANG lelaki didakwa dengan 169 pertuduhan berkaitan penderaan dan penyeludupan haiwan selepas serbuan polis menemui berpuluh-puluh reptilia yang disembunyikan dalam sebuah rumah, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan polis.

Menurut Polis Negeri New South Wales (NSW), siasatan ke atas dakwaan berkaitan perkara itu bermula pada bulan Mac dan diketuai satu pasukan petugas perisikan elit – Strike Force Raptor.

“Susulan inkuiri meluas, penyiasat dengan bantuan pegawai Skuad Rusuhan dan Ketenteraman Awam serta Pejabat Alam Sekitar dan Warisan NSW, melaksanakan waran geledah di Marquesa Crescent, Lethbridge Park semalam,” menurut Polis NSW.

“Pegawai menemui 12 cicak Shingleback, seekor ular sawa Stimson, tiga anak biawak, seekor penyu Mata Amerika Selatan dan dua bangkai buaya. Kesemua reptilia itu dirampas oleh pihak berkuasa pengendali haiwan yang sah,” menurut kenyataan itu.

Penyiasat turut merampas sejumlah telefon bimbit dan gajet elektronik lain yang akan dihantar untuk pemeriksaan oleh pakar forensik.

Lelaki berusia 25 tahun yang pada mulanya berdepan 165 pertuduhan melakukan urusan membabitkan haiwan dilindungi, turut didakwa dengan dua lagi pertuduhan iaitu cuba mengeksport spesies asli yang dikawal tanpa permit serta memiliki spesies bukan asli yang dikawal dan melakukan kekejaman terhadap haiwan.

Memandangkan siasatan masih dijalankan berhubung kes itu, lelaki tersebut dibenarkan ikat jamin dengan syarat yang ketat dan ditetapkan untuk hadir ke mahkamah pada 5 Jun. – Bernama, 24 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen