MAHKAMAH Jepun hari ini mengekalkan hukuman mati ke atas seorang wanita yang digelar “Black Widow” yang membunuh kekasih-kekasihnya yang berusia dan kaya menggunakan sianida, satu kes yang menggegarkan Jepun.
Mahkamah Tinggi Osaka menolak rayuan Chisako Kakehi, 72, untuk membatalkan hukuman mati ke atasnya kerana membunuh tiga lelaki termasuk suaminya dan cubaan membunuh seorang lelaki.
Kakehi terkenal kerana menggunakan racun untuk membunuh lelaki tua yang menjalinkan hubungan dengannya. Dia dibandingkan dengan labah-labah yang membunuh pasangan selepas mengawan.
Mahkamah turut menolak rayuan yang difailkan peguam bela, kata seorang jurucakap.
Menurut agensi berita tempatan Jiji Press, peguamnya telah memfailkan rayuan terakhir.
Ketika mahkamah menjatuhkan hukuman mati pada 2017, Hakim Ayako Nakagawa berkata pembunuhan yang dilakukan Kakehi sangat licik dan berniat jahat dan dia memujuk mangsa minum sianida berserta niat membunuh.
Hakim menolak hujah peguam bela bahawa Kakehi tidak melakukan jenayah tersebut kerana nyanyuk.
Perbicaraan berlangsung selama 135 hari dan mendapat perhatian orang ramai. Lebih 560 orang berbaris untuk merebut 51 tempat di mahkamah bagi mengikuti perbicaraan.
Kakehi dilaporkan mengumpul satu bilion yen (AS$8.8 juta) dalam bentuk bayaran tetapi wangnya habis akibat kegagalan dalam perdagangan kewangan. – AFP, 24 Mei, 2019.
Komen