TIGA lagi pendaki meninggal dunia di Gunung Everest, kata penganjur ekspedisi dan pegawai pada Jumaat, menjadikan ia tujuh orang dalam masa seminggu susulan keadaan “sesak” di kemuncak tertinggi di dunia itu.
“Dua lagi pendaki India meninggal dunia di Everest semalam,” kata jurucakap Jabatan Pelancongan Nepal, Mira Acharya, ketika penganjur ekspedisi mengesahkan kematian ketiga.
Kalpana Das, 52, tiba di puncak itu tetapi meninggal dunia pada petang Khamis semasa turun, ketika ramai pendaki beratur dekat puncak Gunung Everest.
Seorang lagi pendaki India, 27, Nihal Bagwan, juga meninggal dunia dalam perjalanan pulang dari puncak itu.
“Beliau tersekat dalam kesesakan selama lebih 12 jam dan keletihan. Pemandu arah Sherpa membawanya ke Kem 4 tetapi beliau menghembuskan nafas terakhir di sana,” kata Keshav Paudel daripada Peak Promotion.
Seorang pendaki Austria pula meninggal dunia di laluan gunung sebelah utara Tibet, kata penganjur ekspedisi itu.
Pendaki berusia 65 tahun itu menghembuskan nafas terakhir berhampiran puncak semasa dalam perjalanan turun.
Rabu lalu, seorang pendaki India dan Amerika meninggal dunia di atas gunung. Minggu lalu, seorang pendaki India meninggal dunia dan seorang pendaki Ireland dianggap mati selepas tergelincir dan jatuh berhampiran puncak.
Aktiviti mendaki di Nepal menjadi perniagaan menguntungkan sejak Edmund Hillary dan Tenzing Norgay membuat pendakian pertama Everest pada 1953.
Sebanyak 381 permit bernilai AS$11,000 setiap satu untuk mendaki semasa musim bunga tahun ini dikeluarkan, menyebabkan kesesakan dalam perjalanan ke puncak selepas cuaca buruk mengurangkan jumlah hari mendaki.
Kebanyakan pendaki Everest diiringi pemandu arah warga Nepal, yang bermakna lebih 750 pendaki dijangka menggunakan laluan yang sama ke puncak pada musim ini.
Sekurang-kurangnya 140 orang lagi diberikan permit ke Everest dari sebelah utara Tibet, menurut pengendali ekspedisi.
Ini berkemungkinan memecahkan rekod tahun lalu yang menyaksikan 807 orang berjaya sampai ke puncak.
Banyak pergunungan Himalaya - termasuk Everest - sedang dalam kemuncak musim mendaki, dengan cuaca yang baik antara akhir April hingga akhir Mei.
Seramai tujuh pendaki lain meninggal dunia di puncak Himalaya musim ini, manakala dua lagi hilang. – AFP, 24 Mei, 2019.
Komen