Dikecam kenakan hukuman mati pada gay, Sultan Brunei pulang ijazah Oxford


Sultan Hassanal Bolkiah memulangkan ijazah kehormat yang dikurniakan oleh Universiti Oxford di Britain kepadanya selepas dikecam susulan pelaksanaan hukuman mati terhadap penzina dan gay. – Gambar EPA, 24 Mei, 2019.

SULTAN Brunei Sultan Hassanal Bolkiah memulangkan ijazah kehormat yang dikurniakan oleh Universiti Oxford di Britain selepas menerima kecaman diketuai selebriti termasuk George Clooney dan Elton John, susulan pelaksanaan hukuman mati terhadap penzina dan gay.

Reuters melaporkan hampir 120,000 tandatangan dikumpulkan dalam satu petisyen pada April lalu mendesak Universiti Oxford membatalkan ijazah kehormat undang-undang yang diberikan pada 1993 kepada sultan itu.

Universiti Oxfor berkata Sultan Hassanal Bolkiah menyerahkan kembali ijazah itu pada 6 Mei.

Berita tentang keputusan sultan negeri kecil yang kaya dengan minyak itu didedahkan kepada umum semalam.

“Sebagai sebahagian proses semakan semula, universiti menghantar surat memaklumkan kepada sultan pada 26 April, 2019, meminta pandangannya sehingga 7 Jun, 2019,” kata universiti itu dipetik daripada Reuters.

“Menerusi satu surat bertarikh 6 Mei, 2019 sultan membalasnya dengan keputusannya memulangkan ijazah itu.”

Pada 3 April, Brunei mengumumkan pelaksanaan hukuman syariah terhadap pesalah liwat, zina dan rogol dengan hukuman mati, termasuk direjam dengan batu.

Susulan itu, Sultan Brunei menerima kecaman hebat dari barat terutama golongan gay, termasuk protes bantahan, kempen boikot rangkaian hotelnya di Beverley Hills Hotel di Los Angeles dan Dorchester di London

Undang-undang diperkenalkan itu turut dikecam oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Brunei, dengan populasi 400,000 menjadi negara pertama di rantau Asia Tenggara mengguna pakai kanun undang-undang syariah di peringkat kebangsaan sejak 2014. – 24 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen