Tiada tarikh diputuskan untuk 737 MAX kembali beroperasi


Kilang Boeing 737 di Renton, Washington. Pihak penyelia penerbangan awam di seluruh dunia masih gagal memutuskan tarikh memboleh pesawat ini boleh mula beroperasi sekali lagi selepas digantung beberapa bulan lalu. – Gambar AFP, 24 Mei, 2019.

PENGAWAL selia penerbangan awam dari seluruh dunia pada Khamis gagal memutuskan bila pesawat Boeing 737 MAX boleh kembali beroperasi selepas digantung perkhidmatannya susulan dua kemalangan maut.

“Satu-satunya jadual adalah untuk memastikan pesawat selamat untuk terbang,” kata Daniel Elwell, ketua Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA), pada akhir mesyuarat di Texas.

Terdapat “persetujuan bersemangat untuk meneruskan dialog,” katanya, tetapi mengakui “setiap negara perlu membuat keputusan sendiri.”

“Sekiranya tarikh mereka membenarkannya hampir dengan kami, saya rasa ia akan membantu terhadap keyakinan orang ramai,” kata Elwell.

Sejak kecelakaan 737 MAX di Ethiopia pada Mac dan Indonesia pada Oktober yang menyebabkan 346 orang maut, amalan biasa ialah pengawal selia penerbangan akan mengikut penilaian agensi yang mengawasi model, dalam kes ini FAA.

Pada Rabu, Elwell memberi harapan terhadap resolusi segera, selepas mendedahkan Boeing sudah menyerahkan kemas kini perisian untuk semakan selepas agensinya membangkitkan beberapa soalan tambahan.

Penyiasat memberi tumpuan kepada Sistem Anti-Pegun (MCAS) dalam siasatan dua kemalangan maut itu.

Boeing minggu lalu berkata kemas kini MCAS sudah siap untuk proses pensijilan, dan syarikat penerbangan AS berharap pesawat itu dapat kembali beroperasi pada waktunya untuk musim panas.

Tetapi Elwell pada Khamis berkata proses itu mungkin mengambil masa satu hingga dua bulan atau lebih lama.

“Ia semua bergantung apa yang kami temui dalam analisis permohonan,” katanya pada CNBC.

Apabila Boeing menyerahkan semua dokumentasi, FAA akan menjalankan ujian penerbangan  dan analisis terperinci untuk menilai keselamatan perisian.

Richard Aboulafia, penganalisis penerbangan di Teal Group, berkata Boeing mahu mengelak daripada mengulangi proses itu.

“Ada banyak yang dipertimbangkan dari segi tanggapan pertama oleh pengawal selia dunia,” katanya kepada AFP.

Pengangkutan udara Amerika Syarikat yang mengendalikan 737 MAX, termasuk American Airlines, Southwest dan United, berkata mereka berharap dapat menerbangkan semula pesawat paling lewat pada pertengahan Ogos.

Tetapi reputasi FAA dipersoalkan sejak kecelakaan Mac, dan berdepan tuduhan mempunyai hubungan baik dengan syarikat gergasi penerbangan itu. Pihak berkuasa penerbangan lain kini kelihatan berkemungkinan kurang cenderung mengikut agensi AS.

Amerika Syarikat berbeza pendapat dengan beberapa negara mengenai isu ini, termasuk Kanada. Washington percaya latihan pada komputer atau tablet sudah cukup bagi juruterbang berpengalaman tetapi Ottawa mahu latihan pada simulator penerbangan.

Agensi Keselamatan Penerbangan Eropah, Kanada dan Brazil adalah antara negara yang mengatakan mereka akan menjalankan penilaian mereka sendiri mengenai kemas kini perisian MCAS. – AFP, 24 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen