RATUSAN pendaki Gunung Everest tersekat dalam “kesesakan lalu lintas” ketika penganjur ekspedisi pada Kamis melaporkan dua lagi kematian berlaku di kemuncak tertinggi di dunia itu.
Lebih 200 pendaki mengambil kesempatan daripada cuaca baik pada Rabu untuk cuba sampai ke puncak dari Nepal dan China, tetapi mereka perlu menunggu lama selama berjam-jam untuk mencapai puncak dengan risiko luka beku dan penyakit ketinggian.
Seorang pendaki Amerika dan India mangsa terbaharu, kata penganjur ekspedisi mereka, di salah satu hari paling sibuk di puncak 8.848 meter (29,029 kaki).
Donald Lynn Cash, 55, rebah di puncak pada Rabu ketika sedang mengambil gambar, sementara Anjali Kulkarni, 55, meninggal dunia ketika turun selepas mencapai puncak.
Penganjur ekspedisi Kulkarni, Arun Treks, berkata laluan sesak ke puncak itu menyebabkan beliau lambat turun dan dan mengakibatkan kematiannya.
“Beliau terpaksa menunggu lama untuk sampai ke puncak dan turun,” kata Thupden Sherpa.
“Mangsa tidak boleh bergerak sendirian dan meninggal ketika pemandu arah Sherpa membawanya ke bawah.”
Pasang Tenje Sherpa daripada Pioneer Adventure memberitahu AFP bahawa Cash rebah di puncak dan meninggal dunia berhampiran Hillary Step ketika pemandu arah membawanya turun.
Kejadian itu menjadikan empat kematian di Everest bagi musim ini, selepas pendaki India meninggal minggu lalu dan seorang pendaki Ireland dianggap mati selepas tergelincir dan jatuh berhampiran puncak.
Aktiviti mendaki di Nepal menjadi perniagaan menguntungkan sejak Edmund Hillary dan Tenzing Norgay membuat pendakian pertama Everest pada 1953.
Negara Himalaya mengeluarkan 381 permit bernilai AS$11,000 setiap seorang bagi musim mendaki pada musim bunga tahun ini, yang mencetuskan kebimbangan mengenai kesesakan dalam perjalanan ke puncak jika cuaca buruk menyebabkan jumlah hari mendaki berkurangan.
Kebanyakan pendaki Everest diiringi pemandu arah warga Nepal, bermakna lebih 750 pendaki akan melalui laluan yang sama ke puncak dalam beberapa minggu akan datang.
Sekurang-kurangnya 140 orang lagi diberikan permit untuk mendaki Everest dari utara Tibet, menurut operator ekspedisi. Ia menjadikan catatan rekod sepanjang tahun lalu sebanyak 807 orang berjaya sampai ke puncak itu.
Banyak pergunungan Himalaya - termasuk Everest - sedang dalam musim mendaki, dengan cuaca yang baik antara akhir April dan akhir Mei.
Sekurang-kurangnya enam pendaki asing lain meninggal dunia di puncak Himalaya musim ini, manakala dua lagi hilang. – AFP, 24 Mei, 2019.
Komen