Pembunuh bersiri jalani hukuman mati selepas 35 tahun didapati bersalah


SEORANG pembunuh bersiri menjalani hukuman mati pada Khamis di Florida, Amerika Syarikat, 35 tahun selepas beliau memperkosa dan membunuh sekurang-kurangnya lapan wanita muda di wilayah Tampa Bay.

Robert “Bobby” Long, 65, dihukum mati pada pukul 6.55 petang (2255 GMT) di Penjara Florida di Raiford, kata Jabatan Koreksional.

“Pelaksanaan hukuman berjalan tanpa insiden,” kata Michelle Glady, pengarah komunikasi jabatan itu dalam satu kenyataan.

Beliau dijatuhkan hukuman mati pada September 1985 kerana membunuh seorang wanita setahun sebelum itu.

Semasa siasatan, beliau mengaku membunuh tujuh orang lain dan juga melakukan pelbagai kesalahan.

Beliau merupakan seorang bapa dua anak yang baru bercerai semasa awal tahun 1980an.

Long pertama kali memilih mangsa dari bahagian iklan dalam akhbar tempatan. Beliau menghubungi wanita yang menjual barang, pergi ke rumah mereka dan merogol sebelum melarikan diri.

Ia menyebabkan beliau mendapat gelaran “perogol iklan”.

Pada 1984, Long mula membunuh. Dalam tempoh lapan bulan, beliau menculik beberapa wanita, mengikat, merogol, mencekik atau mengelar leher mereka sebelum meninggalkan mayat mangsa.

Beliau pernah menculik seorang gadis berusia 17 tahun yang menaiki basikal pulang ke rumah pada September tahun itu. Selepas merogolnya berulang kali, mangsa berjaya meyakinkan Long supaya melepaskannya, dan kemudian memaklumkan kepada pihak polis.

Sejak menjalani hukuman, Long membuat beberapa rayuan gagal. Permintaan terakhirnya, yang difailkan dengan Mahkamah Agung juga gagal.

Peguamnya menekankan anak guamnya mengalami epilepsi, bersama beberapa sebab lain untuk mengelak pelaksanaan hukuman mati.

Mereka mengatakan suntikan maut akan tidak akan berjaya dan boleh menyebabkan Long menderita hukuman kejam dan luar biasa, yang melanggar Perlembagaan AS.

Pelaksanaan Long adalah yang kelapan setakat ini tahun ini di AS. – AFP, 24 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen