Panasonic Jepun gantung transaksi dengan Huawei China


Presiden AS Donald Trump menyenaraihitamkan Huawei dan 70 sekutunya daripada segi perdagangan, sekali gus mengehadkan aktivitinya di negara itu. – Gambar fail AFP, 23 Mei, 2019.

SYARIKAT barangan elektronik pengguna Jepun Panasonic mengumumkan penggantungan semua transaksi dengan gergasi telekomunikasi China Huawei susulan keputusan Amerika Syarikat untuk menyenaraikan Huawei sebagai satu ancaman terhadap keselamatan negara itu, lapor agensi berita Sputnik memetik media tempatan pada Khamis.

Stesen penyiar FNN melaporkan bahawa syarikat Jepun itu menggantung semua transaksi membabitkan Huawei dan 68 syarikat yang bersekutu dengannya.

Pada Rabu, dua pengendali mudah alih Jepun telah menangguhkan pelancaran jualan telefon pintar Huawei selepas Google mengharamkan kemas kini perisian bagi gajet yang dikeluarkan oleh gergasi telekom China itu.

Google juga memutuskan akses Huawei kepada kemas kini sistem operasi Androidnya pada Isnin.

Sebuah lagi syarikat Jepun, NTT Docom berhenti menerima pra pesanan untuk gajet Huawei.

Pada 16 Mei, Presiden AS Donald Trump mengeluarkan perintah eksekutif yang menyenaraihitamkan Huawei dan 70 sekutunya daripada segi perdagangan, sekali gus mengehadkan aktivitinya di negara itu.

Mulai saat ini, syarikat AS dikehendaki meminta kebenaran untuk berdagang dengan syarikat telekom itu.

Akibatnya, Google terpaksa menggantung operasi perniagaan dengan Huawei, termasuk dari segi perkhidmatan pemindahan perkakasan, perisian dan teknikal, kecuali yang tersedia secara umum melalui pelesenan sumber terbuka. – Bernama, 23 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen