RAKYAT Britain keluar mengundi pada Khamis bagi memilih anggota baharu Parlimen Eropah di tengah-tengah krisis yang melanda kerajaan negara itu yang dicetuskan oleh isu Brexit, lapor agensi berita Turki Anadolu.
Pengundian itu, yang tidak mungkin berlaku di Britain jika United Kingdom (UK) meluluskan satu perjanjian keluar dalam parlimen pada dua tarikh akhir terdahulu, bakal membawa 73 anggota Parlimen Eropah baharu dari Britain ke Brussels.
Pilihan raya itu berlangsung sehari selepas Perdana Menteri Theresa May menerima desakan agar meletak jawatan sejak beliau membuat tawaran baharu bagi meneruskan Brexit.
Pengundi Britain akan memilih 73 ahli Parlimen Eropah (MEP) di England, Scotland, Wales dan Ireland Utara.
Parti Brexit yang baru ditubuhkan dijangka memenangi kebanyakan undi manakala Parti Konservatif dan Parti Buruh telah kehilangan sokongan susulan kegagalan Brexit, menurut tinjauan pendapat terkini.
Kira-kira 374 juta orang akan mengundi di seluruh Kesatuan Eropah (EU).
Keputusan dijangka diperoleh selepas semua negara EU menyempurnakan proses pengundian pada 9 malam Ahad. – Bernama, 23 Mei, 2019.
Komen