Palestin tidak akan sertai bengkel Manama


Palestin tidak akan hadir bengkel ekonomi yang diterajui AS bulan depan di Bahrain. – Gambar fail EPA, 23 Mei, 2019.

PIHAK Berkuasa Palestin pada Khamis memutuskan untuk tidak menghadiri sebuah bengkel ekonomi yang diterajui Amerika Syarikat bulan depan di Bahrain, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan Saeb Erekat, Setiausaha Agung Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).

“Kami tidak ingin mengkritik atau menjejaskan kepentingan mana-mana pihak, namun berdasarkan keputusan pentadbiran Amerika, kami memutuskan untuk tidak mengambil bahagian dalam persidangan itu di Manama dalam apa jua cara,” katanya.

 “Mereka yang ingin mempertahan kepentingan rakyat Palestin perlu menyokong pendirian konsensus Palestin yang diwakili oleh pendirian Presiden Mahmoud Abbas, Jawatankuasa Eksekutif PLO, puak-puak di Palestin, tokoh negara dan sektor swasta,” kata Erekat.

Erekat berkata (PLO), yang merupakan wakil tunggal dan sah rakyat Palestin, tidak memberi kuasa kepada sesiapa untuk bercakap bagi pihaknya.

“Kami amat menghargai konsensus Palestin ini untuk kemenangan bagi hak negara kita yang sah,” katanya.

Erekat mengucapkan terima kasih kepada “konsensus antarabangsa” di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang membantah pendirian pentadbiran AS yang cuba menggagalkan penyelesaian dua negara dalam isu sempadan 1967, Baitulmaqdis, pelarian, petempatan (Israel) dan sempadan.

Washington pada Ahad mengumumkan rancangan untuk mengadakan satu persidangan besar di Manama, di mana para pegawai AS akan membentangkan aspek ekonomi berkaitan pelan damai pintu belakang Amerika yang disifatkan oleh Presiden Donald Trump sebagai “perjanjian terbaik pada abad ini.”

Bahrain mempertahan bengkel itu dan menyifatkannya sebagai satu usaha untuk memperkasa rakyat Palestin.

Selain Bahrain, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu secara rasmi mengumumkan penglibatan dalam bengkel itu.

Sejak pengumuman kontroversi Trump untuk memindahkan kedutaan Amerika ke Baitulmaqdis, kepimpinan Palestin di Ramallah menolak sebarang peranan mediasi oleh AS dalam proses damai Timur Tengah. – Bernama, 23 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen