Piala Dunia 2022 kekal format 32 pasukan, kata FIFA


FIFA menolak untuk menambah bilangan pasukan yang mengambil bahagian dalam kejohanan Piala Dunia FIFA Qatar 2022 dari 32 kepada 48. – Gambar EPA, 23 Mei, 2019.

PERSEKUTUAN Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) semalam menolak sebarang kemungkinan untuk menambah bilangan pasukan yang mengambil bahagian dalam kejohanan Piala Dunia FIFA Qatar 2022 dari 32 kepada 48, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan badan bola sepak dunia itu.

“Susulan satu proses konsultasi yang teliti dan menyeluruh dengan pembabitan semua pihak berkepentingan yang relevan, dirumuskan bahawa di bawah situasi semasa cadangan sedemikian tidak sesuai dibuat pada masa ini,” menurut FIFA.

FIFA berkata kedua-dua pihak “sebelum ini meneroka kemungkinan Qatar menganjurkan kejohanan yanag menampilkan 48 pasukan dengan melonggarkan beberapa syarat utama FIFA.”

“Satu analisis bersama, dalam hal ini, merumuskan susulan peringkat persediaan yang lebih lanjut dan keperluan untuk penilaian terperinci berkaitan potensi kesan logistik ke atas negara hos, lebih banyak masa diperlukan dan keputusan tidak boleh dibuat sebelum tarikh akhir pada Jun.

“Oleh itu diputuskan pilihan ini tidak akan diteruskan. Piala Dunia FIFA Qatar 2022 akan kekal seperti yang dirancang pada asalnya dengan 32 pasukan dan tiada cadangan akan dikemukakan di Kongres FIFA berikutnya pada 5 Jun,” katanya. – Bernama, 23 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen