Boeing belum serah kemas kini perisian 737 MAX kepada FAA


Boeing berkata minggu lalu ia sudah selesai membuat perubahan yang diminta oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS. – Gambar EPA, 23 Mei, 2019.

BADAN pengawal selia penerbangan Amerika Syarikat (AS) masih belum menerima kemas kini perisian pesawat 737 MAX yang dicadangkan Boeing, sejak digantung secara global selepas dua kemalangan maut, kata ketua badan itu pada Rabu.

Boeing berkata ia akan memasang sistem pencegahan “Maneuvering Characteristics Augmentation System” (MCAS), yang disalahkan bagi kedua-dua kemalangan di Indonesia dan Ethiopia yang membunuh 346 orang dan menyebabkan pesawat terlaris itu digantung daripada perkhidmatan.

Boeing berkata minggu lalu ia sudah selesai membuat perubahan yang diminta oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS (FAA), tetapi ketua sementara agensi itu, Dan Elwell memberitahu pemberita ia belum melihat pembetulan.

“Kami masih menunggu Boeing secara rasmi mengemukakan perisian untuk mendapatkan kelulusan,” katanya di luar acara sidang pengawal selia penerbangan global di Fort Worth, Texas.

Elwell berkata FAA menghantar Boeing soalan tambahan mengenai perbaikan yang dicadangkan untuk pesawat MAX, yang menjadi punca kelewatan.

Sidang kemuncak yang akan bermula Khamis akan menyaksikan percubaan FAA membina semula kepercayaan dengan pengawal selia penerbangan dari 33 negara termasuk China, Kanada, Kesatuan Eropah, Ethiopia dan Indonesia.

Pengawal selia itu mengadakan sidang kemuncak itu sebagai langkah menangani kebimbangan berhubung pesawat MAX selepas ia dikritik kerana sengaja melewat-lewatkan memberi arahan jet digantung.

Pengawal selia Kanada dan AS mempunyai amalan berbeza bagi 737 MAX 8, dengan Kanada mendesak juruterbang berlatih dalam simulator penerbangan dan AS mengatakan kursus latihan pada komputer atau iPad sudah mencukupi.

“Kami belum menentukan latihan terakhir,” kata Elwell.

Dua syarikat penerbangan Amerika - Southwest dan American - mengumumkan rancangan memulakan semula penerbangan pada pesawat MAX mereka pada Ogos dengan harapan penyelesaian akan selesai pada masa itu.

Ketua FAA menambah beliau tidak dapat mengatakan bila jet itu akan kembali beroperasi, menyalahkan kelewatan baru-baru ini.

“Ia mengambil masa yang panjang untuk betul-betul memastikannya,” kata Elwell. “Kita perlu menjadi orang pertama yang membatalkan larangan tersebut.” – AFP, 23 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen