HAKIM persekutuan Amerika Syarikat (AS) pada Rabu menolak percubaan Presiden Donald Trump untuk menghalang sepina Kongres yang dihantar kepada dua bank untuk mendapatkan rekod berkaitan perniagaannya.
Penggubal undang-undang bahagian kewangan daripada Dewan Perwakilan yang dikuasai Demokrat pada April meminta Deutsche Bank dan Capital One dokumen berkaitan Trump dan organisasinya sebagai sebahagian daripada siasatan lebih meluas berhubung pilihan raya yang didakwa membabitkan campur tangan Rusia.
Penyiasatan ini tertumpu kepada hubungan Trump dengan Deutsche Bank, satu daripada beberapa bank utama yang berterusan memberi pinjaman kepadanya selepas beberapa siri kebankrapan pada 1990-an.
Trump dan tiga anaknya yang terlibat dalam perniagaan, bersama beberapa syarikat, memfailkan permohonan menghalang pelepasan semua dokumen tersebut, dengan mengatakan sepina itu “mengganggu dan melampau.”
Bagaimanapun, hakim persekutuan Edgardo Ramos tidak bersetuju, dan semasa sesi pendengaran di Manhattan mengarahkan sepina itu disahkan, membenarkan dokumen itu diberi kepada Kongres.
Keputusan itu susulan laporan pada Isnin dalam The New York Times yang mengatakan Deutsche Bank gagal memberi amaran berhubung transaksi mencurigakan yang melibatkan Trump dan menantunya Jared Kushner.
Beberapa urus niaga pada 2016 dan 2017, termasuk dengan beberapa entiti dan individu di luar AS, mencetuskan amaran automatik dalam sistem bank, mendorong para pekerja menyediakan “laporan aktiviti mencurigakan” yang eksekutif bank dihalang daripada mengajukannya kepada pengawal selia kewangan AS, kata akhbar itu.
Laporan itu dinafikan pihak bank, yang memberitahu AFP pada Isnin “tidak pernah seorang penyiasat dihalang daripada cetusan aktiviti yang dikenal pasti sebagai mencurigakan”. – AFP, 23 Mei, 2019.
Komen