KPKT bincang dengan pemaju selesai masalah rumah tak terjual


KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang berbincang dengan pemaju hartanah untuk menyelesaikan hartanah kediaman yang tidak terjual bernilai lebih RM22 bilion, kata menteri berkenaan, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, kementerian akan menumpukan hartanah berharga di bawah RM500,000 terlebih dahulu untuk membantu pembeli rumah dan pemaju.

“Sekiranya kita, bersama pemaju, dapat menentukan tawaran terbaik pada harga serta lokasi yang baik, ia boleh ditawarkan kepada B40 (kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah) dan M40 (berpendapatan 40 peratus pertengahan),” katanya kepada pemberita pada Pameran Hartanah Sekunder dan Primer Malaysia 2018 di Petaling Jaya, hari ini.

Beliau mahu pemaju hartanah dengan hartanah berharga RM500,000 ke bawah menghubungi kementerian itu dan mendapatkan bantuan supaya projek mereka disenaraikan dalam sasaran satu juta kediaman mampu milik oleh kerajaan.

Zuraida berkata, kerajaan telah menyiapkan Dasar Perumahan Mampu Milik Negara 2.0 dan ia dijangka diumumkan pada akhir Oktober ini.

“Kita perlu mendapatkan beberapa ulasan dan maklum balas daripada pelbagai kementerian terlibat supaya apabila kabinet meluluskannya, ia akan dilancarkan serta-merta,” katanya.

Beliau berkata, selain itu KPKT sedang memperkemaskan kesemua agensi di bawahnya.

“Setakat ini, agensi ini berada di bawah KPKT, Unit Perumahan Penjawat Awam Malaysia, Perbadanan PR1MA Malaysia, Syarikat Perumahan Negara Bhd dan UDA Holdings Bhd.

“Kami berharap dapat menyelesaikan proses itu dalam tempoh dua bulan akan datang,” katanya.

Mengenai kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas perkhidmatan pembinaan dan bahan akan dikaji semula sekiranya harga rumah tidak dikurangkan, Zuraida berkata harga rumah sepatutnya menjadi lebih rendah memandangkan tiada SST dikenakan.

“Sekiranya harga masih mahal, jangan beli hartanah mereka,” katanya. – Bernama, 28 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen