Ahli parti bayar kos guaman kes saman Hadi di UK, kata PAS


Looi Sue-Chern

PAS berjaya mengutip lebih RM200,000 semasa muktamar parti pada April lalu dan berharap dapat mengumpul sehingga RM5 juta bagi menampung kos guaman kes saman fitnah presidennya Abdul Hadi Awang di United Kingdom. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Ogos, 2017.

PAS menegaskan ahli partinya membayar kos guaman yang mengendalikan kes saman fitnah Presiden Abdul Hadi Awang di United Kingdom (UK) terhadap laman sesawang pemberi maklumat Sarawak Report.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata, parti mengutip sumbangan daripada ahlinya bagi menampung kos perundangan yang diperlukan.

“Kami mengutip lebih RM200,000 di muktamar kami pada April. Kami menyasarkan untuk mengumpul sehingga RM5 juta, kerana kami tahu kosnya akan mahal,” katanya kepada The Malaysian Insight hari ini.

Idris diminta mengulas kenyataan pengarang Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown yang mempersoalkan bagaimana PAS membayar kos guaman di UK, di mana saman fitnah sangat mahal.

Beliau mengatakan saman itu boleh menelan kos sehingga RM600,000 dan bertanya siapa yang membayar peguam Hadi di Carter-Ruck.

Wartawan berpangkalan di London, yang menulis mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu berdepan saman di atas artikel pada Ogos lalu yang menuduh Hadi menerima rasuah RM90 juta daripada Perdana Menteri Najib Razak sebagai balasan sokongannya.

Minggu lepas semasa pengurusan kes saman itu, mahkamah London menerima tawaran Hadi untuk membayar deposit sebanyak RM80,000 sebagai jaminan sekiranya beliau kalah dalam saman fitnahnya.

Rewcastle-Brown sebelum ini memohon kepada mahkamah untuk memaksa Hadi membayar deposit sebagai jaminan, sekiranya beliau kalah.

Beliau juga membangkitkan persoalan mengenai enam pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia  yang memantau prosiding itu sedangkan tiada langsung wakil PAS hadir.

Idris mempersoalkan apa yang dimaksudkan oleh Rewcastle-Brown.

“Apa cerita yang beliau cuba reka sekarang? Adakah beliau cuba mengaitkan kami dengan Umno? Kami tidak mengambil wang daripada orang lain, dan pastinya bukan Umno.

“Kami tidak seperti orang lain yang mengambil wang daripada Umno. Ahli kami yang membantu mendapatkan wang itu,” katanya.

Idris berkata Rewcastle-Brown perlu membuktikan dakwaannya.

“Sebenarnya, PAS kini berdiri sendiri, berdepan serangan sama ada daripada Pakatan Harapan atau Umno,” katanya. – 6 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen