Menjelang PRU14, golongan profesional India renung nasib kaum sendiri


Asila Jalil

Masyarakat kaum India di Malaysia terpinggir dalam pembangunan ekonomi dan sosial negara sehingga mereka dibelenggu kemiskinan, stigma dan prasangka. – Gambar EPA, 7 Ogos, 2017.

PROFESIONAL kaum India setuju dengan sentimen masyarakat etnik itu tentang kos sara hidup yang meningkat, rasuah awam, kekurangan peluang kerjaya dan gaji yang rendah seperti yang didedahkan dalam kaji selidik Pusat Inisiatif Polisi Invoke baru-baru ini.

Kaji selidik yang melibatkan 17,107 responden termasuk 1,110 daripada kaum India yang berumur lebih 21 tahun dan mendaftar sebagai pengundi mendedahkan kebimbangan utama mereka terhadap isu berkenaan menjelang pilihan raya umum ke-14 nanti.

Selain berkongsi sentimen yang sama, profesional etnik India yang ditemui The Malaysian Insight juga melahirkan kebimbangan mereka tentang masa depan kumpulan masyarakat itu selepas berpuluh tahun terpinggir dan menjadi mangsa prasangka.

Peguam Surjan Singh Sidhu berkata kos sara hidup yang meningkat menyebabkan orang menanggung beban tambahan dalam hidup seharian.

“Saya fikir Rafizi (Ramli) betul. Kos sara hidup dan meningkat hampir dua kali ganda. Malah kalau petrol naik 50 sen atau seringgit, orang masih rasa kesannya,” katanya.

Naib presiden PKR yang disebut Surjan itu mengetuai Invoke yang meneliti data besar dan kaji selidik bagi mengesan sentimen dalam kalangan pengundi.

Surjan juga berharap Perdana Menteri Najib Razak boleh menjelaskan isu berkenaan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana ia melibatkan wang rakyat.

“Beliau masih belum jelaskan sampai hari ini dan kalau tidak boleh (jelaskan), beliau patut letak jawatan,” kata peguam itu.

Bagi pegawai bank Hanu Suhan Prasant,34, hutang negara memberikan kesan bertimpa-timpa yang menambah rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat India.

“Saya fikir (ada) gambaran lebih besar yang ada kaitan dengan hutang negara yang menyebabkan tiga isu itu berbangkit,” katanya, merujuk kepada kos sara hidup yang meningkat, amalan rasuah dan kekurangan peluang kerja serta gaji yang rendah.

Menurut Hanu, masyarakat India di Malaysia tidak mendapat peluang pekerjaan kerana penggantungan yang keterlaluan kepada buruh asing.

“Sesetengah mereka berjuang untuk dapatkan kerja yang paling bawah sekali pun.”

Semua ini menyumbang kepada masalah budaya samseng yang dianggap sangat ketara dalam kalangan masyarakat India, tambah Hanu.

Bagi Mani Supramaniam, 50, adalah malang apabila masyarakat itu dikaitkan dengan gejala samseng, salah guna dadah dan pelbagai aktiviti negatif yang lain.

Katanya bukan begini keadaannya empat dekad lalu dan beliau kesal dengan isu peminggiran yang tidak pernah selesai itu.

Kurang peluang kerja dalam sektor awam dan swasta mengukuhkan lagi rasa terpinggir dan diskriminasi itu, katanya.

“Kami digambarkan sebagai watak utama dalam semua kegiatan negatif di negara ini. Apabila orang bercakap tentang kaum India, mereka akan kata ini orang yang ‘jijik’.

“Empat puluh tahun dulu, orang India hebat. Tetapi mereka tidak dapat kerja. Itu sebabnya mereka kini rasa terhina di negara ini,” kata Mani yang bekerja sebagai pemandu.

Kos sara hidup tinggi dan peningkatan harga barang adalah hakikat yang dapat difahami,disebabkan beberapa faktor global tetapi ia sepatutnya dibalas dengan kenaikan gaji dan upah, kata Mani.

Penolong Setiausaha Majlis Belia Hindu Malaysia Nareesh Pillay, 26, menyalahkan kurangnya peluang yang setara serta kitaran liar yang memerangkap kumpulan etnik India yang berpendapatan rendah.

Katanya, masyarakat India Malaysia B40 atau 40% isi rumah berpendapatan kurang daripada RM3,855 sebulan terperangkap dalam masalah ini kerana sukar mendapatkan kerja yang baik dan mereka tidak ada peluang kerana persepsi negatif terhadap mereka.

“(Kalau berterusan) tidak ada masa depan untuk orang India di negara ini. Malaysia sebuah negara yang selamat tetapi dari segi peluang, tidak untuk orang India. Setiap orang mesti mendapat peluang sama rata supaya negara ini boleh pergi jauh lagi,” kata Nareesh, seorang juruterbang.

Kaji selidik Invoke dijalankan antara June dan Julai melalui wawancara telefon. – 7 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen