Angkat sumpah Raus Sharif 'titik hitam' bagi negara, kata Anwar


MAJLIS angkat sumpah Md Raus Sharif sebagai ketua hakim malam tadi adalah “titik hitam” dalam lembaran sejarah kehakiman dan Perlembagaan Malaysia, kata pemimpin de facto PKR Anwar Ibrahim.

“Paling jelas, Perlembagaan Persekutuan negara ini dengan terang tidak membenarkan pelantikan ini,” kata Anwar dalam satu kenyataan, merujuk kepada pelantikan Zulkefli Ahmad Makinuddin sebagai presiden Mahkamah Rayuan.

Memandangkan mereka sudah melepasi had umur bagi jawatan hakim Mahkamah Persekutuan, pelantikan itu mencetuskan kontroversi dan mendorong Majlis Peguam Malaysia berikrar untuk melakukan cabaran undang-undang kerana dianggap tidak mengikut Perlembagaan.

Raus mengangkat sumpah malam tadi sebagai ketua hakim negara bagi tempoh tiga tahun lagi.

Beliau dan Zulkefli dilantik sebagai hakim tambahan di Mahkamah Persekutuan pada 7 Julai oleh Pejabat Perdana Menteri, yang menyaksikan lanjutan perkhidmatan selama tiga dan dua tahun.

Raus dilantik sebagai ketua hakim negara ke-14 pada 1 April, mengambil alih daripada Arifin Zakaria, yang bersara selepas mencapai had usia 66 tahun dan enam bulan pada 3 Mac.

Anwar berkata pelantikan itu diteruskan Perdana Menteri Najib Razak walaupun menerima bantahan daripada pelbagai pihak termasuk pakar perundangan dan wakil rakyat.

“Ketetapan yang diluluskan Mesyuarah Agung Luar Biasa Majlis Peguam pada 3 Ogos, termasuk pengisytiharan hilang kepercayaan terhadap Raus, membuktikan Majlis Peguam cukup prihatin terhadap pelantikan ini.

“Pelantikan ini menonjolkan sikap Najib yang langsung tidak menghiraukan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang dalam negara kita ini. Tindakan Najib ini hanya mementingkan diri sendiri dan menunjukkan betapa terdesaknya beliau untuk terus berkuasa pada ketika Malaysia dibelenggu skandal kewangan terbesar dalam sejarah negara, yang mana Najib sendiri terbabit,” kata Anwar, yang juga ketua umum Pakatan Harapan. – 5 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen